Tapp mahu pertahan maruah

Tapp mahu pertahan maruah

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Jakarta: Gagal ke final bukan alasan untuk Harimau Malaya mengendur sebaliknya skuad negara perlu menutup kempen Piala ASEAN FIFA 2026 dengan satu lagi persembahan yang mampu dibanggakan apabila berdepan Vietnam pada aksi penentuan tempat ketiga di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta, esok.

Pertahanan kental negara, Brad Tapp mengakui kekecewaan gagal melangkah ke pentas final masih dirasai pemain, namun mereka enggan membiarkan keputusan itu menjejaskan fokus menjelang pertemuan dengan antara pasukan terbaik Asia Tenggara itu.

Menurut pemain berusia 25 tahun itu, aksi terakhir berkenaan cukup penting untuk membuktikan kemampuan sebenar Harimau Malaya selain memastikan kempen kali ini diakhiri dengan sesuatu yang boleh dibanggakan.

“Sudah tentu kami kecewa kerana tidak bermain di final, tetapi kami semua bangga dengan usaha yang diberikan dalam perlawanan sebelum ini.

“Kami hanya boleh mengawal apa yang kami lakukan, jadi kami akan memberikan segala-galanya esok. Semua pemain berada dalam keadaan fikiran yang baik ketika ini,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pasukan di sini, sebentar tadi.

Tapp berkata barisan pemain juga sudah melakukan persiapan dengan meneliti corak permainan Vietnam dan sesi latihan terakhir akan digunakan untuk memperkemaskan pendekatan pasukan sebelum turun beraksi.

“Kami tahu ia bukan mudah tetapi kami akan terus bersama, berjuang bersama dan memberikan yang terbaik. Kami mempunyai ramai pemain berkualiti dan saya rasa kami sudah menunjukkan perkara itu sepanjang kejohanan ini.

“Saya tahu sebenarnya kami boleh pergi lebih jauh dan kami boleh melakukan lebih banyak lagi,” katanya.

Sementara itu, pengendali interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe percaya anak buahnya mempunyai kualiti untuk memberi masalah kepada Vietnam, namun mengingatkan mereka supaya lebih tajam ketika memperoleh peluang di depan gol.

Cheng Hoe berkata beberapa kelemahan Vietnam sepanjang kejohanan boleh menjadi pencetus keyakinan buat Harimau Malaya, tetapi pada masa sama beliau mengakui kepantasan lawan ketika melakukan serangan balas perlu diberi perhatian.

“Sebagai jurulatih, kami yakin. Kami rasa pasukan bermain dengan baik. Kami tahu Vietnam sangat pantas ketika melakukan transisi dan mereka bermain dengan kelajuan.

“Kami juga mempunyai pemain berkualiti yang mampu mengawal permainan. Kami perlu menggunakan peluang yang ada di depan gol dan perlu sangat klinikal, bukan sahaja ketika menentang Vietnam tetapi menentang mana-mana pasukan.

“Kami perlu terus bermain seperti yang kami lakukan sebelum ini,” katanya.

Malaysia menamatkan saingan Kumpulan A di tangga kedua dengan tujuh mata, berkongsi jumlah mata sama dengan Indonesia yang muncul juara kumpulan berdasarkan kelebihan perbezaan gol.

Aksi penentuan tempat ketiga antara Malaysia dan Vietnam akan berlangsung di Stadium GBK, esok, manakala final membabitkan Indonesia dan Thailand turut berlangsung di venue sama pada jam 9 malam waktu Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top