Ahmad Zahid yakin kepimpinan baharu mampu pulihkan UiTM Holdings

Ahmad Zahid yakin kepimpinan baharu mampu pulihkan UiTM Holdings

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin kepimpinan baharu UiTM Holdings Sdn Bhd (UiTM Holdings) mampu memulihkan syarikat itu susulan pelbagai masalah yang dihadapinya.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau meletakkan keyakinan terhadap Dr Fathul Bari Mat Jahya yang diberi amanah menerajui UiTM Holdings untuk melaksanakan perubahan atau ‘game changer’ terhadap pandangan dan kedudukan syarikat berkenaan.

Beliau berkata, usaha itu perlu berlandaskan tiga amanah utama, iaitu membebaskan pemikiran melalui ilmu dan bukti, menguasai kepakaran serta berkhidmat dengan penuh amanah.

“Apapun imbuhan, permasalahan di UiTM Holdings, saya mempunyai keyakinan bahawa anda boleh membuat ‘game changer’ untuk mengubah UiTM Holdings. Betulkan semula.

“Sebabnya, saya meletakkan ketiga-tiga amanah tadi untuk memberikan kekuatan semula,” katanya ketika merasmikan Wacana Semarak Patriotisme Seminar Ilmuwan Islam yang diadakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, di sini hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Yayasan Ilmuwan Islam Malaysia, Datuk Dusuki Ahmad.

UiTM Holdings sebelum ini dilaporkan mencatat kerugian sebelum cukai terkumpul kira-kira RM157 juta bagi tahun kewangan 2017, 2018, 2019 dan 2021.

Susulan itu, SPRM menyiasat dakwaan penyelewengan yang dilaksanakan sejak 2023 termasuk meneliti isu berkait projek solar 50 megawatt di Gambang, Pahang serta kelemahan tadbir urus yang dibangkitkan.

Siasatan SPRM turut memberi fokus kepada beberapa isu khususnya membabitkan dana dan beberapa pelaburan yang dibuat UiTM Holdings sehingga kerugian jutaan ringgit.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Malaysia memerlukan generasi yang bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya berupaya mencipta inovasi sendiri dan memiliki hasil teknologi berkenaan.

Katanya, penguasaan kepakaran penting bagi membolehkan negara menentukan hala tuju kemajuan sendiri, selain melahirkan tenaga mahir yang mampu bersaing di peringkat global.

Beliau turut mengingatkan mahasiswa UiTM supaya berani berfikir secara bebas dan tidak menyerahkan pertimbangan kepada sentimen, tekanan kelompok atau sikap mengikut pandangan majoriti tanpa penelitian.

Dalam pada itu, beliau mahu UiTM menjadi titik permulaan bagi menggerakkan Agenda Malaysia Biru yang menyasarkan pembentukan negara berdaulat dan bersatu, inovatif serta berpendapatan tinggi, selain mempunyai rakyat yang makmur dan saksama.

“Saya mahu UiTM menjadi titik mula yang menggerakkan gagasan Agenda Malaysia Biru ini. Kerana saya yakin melalui keberanian pemikiran, watak pendidikan, dan keupayaan tinggi ini. Jadi belajar daripada kesilapan kami.

“Dari Menara Gading ini, dari UiTM ini, di kampus induk ini serta kampus-kampus lain di seluruh negara, akan lahir kejayaan-kejayaan yang membawa Malaysia menuju 100 tahun kemerdekaannya dengan lebih kuat, lebih makmur, dan lebih sempurna, insya-Allah,” katanya.

Sebelum ini, UMNO menggariskan lapan ikhtiar utama menerusi Agenda Malaysia Biru sebagai tawaran baharu sekiranya parti itu bersama Barisan Nasional (BN) kembali menerajui Putrajaya.

Lapan ikhtiar itu merangkumi Malaysia sebagai Negara Pencipta, Negara Berkemahiran, Negara Pemilik, Negara Sejahtera, Negara Berdaya Tahan, Negara Peduli, Negara Beramanah dan Negara Berdaulat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top