Dakwaan petrol bercampur air, siasatan KPDN tidak temui sebarang unsur pencemaran

Dakwaan petrol bercampur air, siasatan KPDN tidak temui sebarang unsur pencemaran

am@hmetro.com.my

Batu Kawan: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang memaklumkan, pemeriksaan yang dijalankan di sebuah stesen minyak di sini tidak menemukan sebarang kehadiran air atau pencemaran dalam tangki simpanan bahan api RON95.

Pengarahnya, S Jegan berkata, siasatan itu dijalankan susulan satu hantaran yang tular di media sosial, mendakwa berlaku masalah terhadap kenderaan selepas mengisi petrol RON95 di stesen minyak berkenaan.

Katanya, pemeriksaan dan penelitian lanjut dilaksanakan secara bersama oleh KPDN negeri, wakil syarikat minyak serta pengusaha stesen minyak untuk mengenal pasti punca dan sebarang kemungkinan kehadiran air atau pencemaran seperti didakwa.

Katanya, pasukan pemeriksaan turut membuat semakan terhadap rekod ‘Automatic Tank Gauge’ (ATG) atau sistem pengukur paras tangki automatik secara menyeluruh, meliputi bacaan semasa pemeriksaan serta rekod bagi tempoh tiga hari terdahulu.

“Hasil semakan rekod ATG mendapati tiada bacaan yang menunjukkan kehadiran air dalam tangki berkenaan sepanjang tempoh yang disemak.

“Pemeriksaan fizikal di kawasan pam dan bahagian ‘tank sump’ (ruangan takungan di bawah tangki) turut dilaksanakan dan tidak menemukan sebarang pengumpulan air selain pemeluwapan biasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan secara manual menggunakan ‘dipping’ (kayu pengukur) juga dilakukan di kedua-dua tangki RON95 dengan menggunakan ‘Water Finding Paste’ iaitu pes pengesan air (WFP) yang disapukan pada kayu pengukur sebelum dimasukkan ke dalam tangki bagi mengesan kehadiran air.

Jegan berkata, pes pengesan air itu akan berubah warna sebagai petunjuk kehadiran air, namun ketika pemeriksaan itu, tiada sebarang perubahan warna dikesan.

“Pemeriksaan secara visual terhadap bahan api yang dikeluarkan daripada semua muncung pam juga mendapati ia kelihatan jernih serta tiada pencemaran yang dapat dikesan melalui pemerhatian mata kasar,” katanya.

Beliau berkata, KPDN negeri bersama wakil syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak akan terus bekerjasama melaksanakan tindakan susulan yang bersesuaian bagi memastikan perkara itu ditangani secara menyeluruh serta kepentingan dan keselamatan pengguna diberi keutamaan.

“Kita menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang kesimpulan awal berdasarkan maklumat yang tular di media sosial, sebaliknya menyalurkan aduan secara rasmi kepada KPDN melalui aplikasi WhatsApp 019-8488000, Portal e-Aduan KPDN, Call Centre 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar EzADU KPDN,” katanya.

Terdahulu, tular di platform Threads selepas pengguna mendakwa enjin kenderaan mereka tidak boleh dihidupkan selepas mengisi bahan api di sebuah stesen minyak di beberapa lokasi di utara tanah air, khususnya Pulau Pinang.

Dalam perkongsian itu, pengguna mendakwa kenderaan mereka yang dalam keadaan baik tiba-tiba gagal dihidupkan selepas mengisi petrol di stesen minyak tertentu hingga timbul dakwaan bahan api itu dicampur air dan tercemar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top