Backa Topola: Emosi kembali tercetus apabila Ireland dan Israel seri 1-1 dalam pertemuan kedua Liga Negara-Negara UEFA antara kedua-dua pasukan, sekali gus menamatkan tempoh dua minggu yang dipengaruhi ketegangan politik.
Ireland menerima gesaan daripada sebahagian penyokong dan ahli politik supaya memboikot perlawanan itu sebelum menewaskan Israel 3-0 secara tertutup di Hungary pada pertemuan pertama, minggu lalu.
“Saya sangat lega semuanya sudah berakhir. Ia memberi tekanan kepada kami semua.
“Saya sangat menghargai pemain. Mereka luar biasa dalam tempoh sukar ini dan saya berharap tiada pasukan kebangsaan perlu melalui apa yang kami lalui sepanjang dua minggu lalu,” kata pengendali Ireland dari Iceland, Heimir Hallgrimsson kepada pemberita.
Ireland antara negara Eropah yang paling lantang mengkritik tindakan ketenteraan Israel di Gaza, manakala Persatuan Bolasepak Ireland (FAI) memilih untuk mengadakan perlawanan secara tertutup di Serbia susulan tekanan supaya menarik diri daripada perlawanan berkenaan.
Ketiadaan penyokong tidak banyak meredakan ketegangan di atas padang.
Media Ireland melaporkan salah seorang jurulatih Ireland, Damien Doyle, menuduh pemain Israel meludah ke arahnya selepas wisel penamat babak pertama.
Ketika ditanya mengenai insiden berkenaan pada sidang media selepas perlawanan, Hallgrimsson enggan memberikan butiran.
“Saya berada di situ. Saya tidak akan mengulas. Ia sesuatu yang akan diteliti jawatankuasa disiplin,” katanya.
Pengendali Israel, Ran Ben-Shimon berkata beliau sudah meninggalkan kawasan tepi padang dan tidak melihat apa yang berlaku.
“Pada waktu rehat saya berada di bilik persalinan, di bilik bersama kakitangan saya dan saya tidak melihat apa-apa. Selepas saya melihat dan menyemaknya, saya akan kembali dengan jawapannya,” kata Ben-Shimon.
Seperti pertemuan pertama, kedua-dua pasukan tidak bersalaman sebelum perlawanan atau bertukar panji, manakala pemain kedua-dua pasukan menundukkan kepala ketika lagu kebangsaan pihak lawan dimainkan.
Ireland sekali lagi memakai lilitan hitam bagi memperingati semua mangsa konflik di Gaza, manakala pemain Israel turut memakai lilitan hitam sebagai tanda mengenang mangsa serangan 7 Oktober.
Troy Parrott meletakkan Ireland di depan menerusi sepakan penalti pada minit ke-39, namun Dor Peretz menyamakan kedudukan sejurus selepas rehat menerusi percubaan tepat pertama Israel.
Israel dua kali menggegar palang pada babak kedua dalam perlawanan hambar itu, dengan kedua-dua pasukan gagal mencipta peluang untuk mendapatkan jaringan kemenangan.
Keputusan seri itu menyaksikan Ireland kekal di tempat ketiga Kumpulan B3 dengan lima mata, tiga mata di belakang pendahulu Austria, manakala Kosovo di tempat kedua mengatasi mereka menerusi perbezaan gol. Israel kekal di tangga tercorot dengan dua mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd




