am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Cadangan mewujudkan Akta Halal khusus di Malaysia sudah lama dibincangkan, namun perkara itu perlu mengambil kira kedudukan halal yang berada dalam kuasa negeri.
Menjelaskan demikian, Pakar Perundangan dan Perlembagaan, Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu A. Aziz, berkata berikutan perkara halal berada dalam kuasa negeri, suatu Akta khusus untuk halal tidak boleh diwujudkan begitu sahaja.
“Akta Halal ini dah lama dibincangkan. Oleh kerana halal adalah perkara dalam kuasa negeri, maka tidak boleh suatu Akta itu diwujudkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi menjawab pertanyaan mengenai keperluan Malaysia mempunyai Akta Halal khusus yang pada masa ini masih belum ada.
Beliau berkata, sekiranya dihasratkan satu Akta halal yang khusus, negeri-negeri hendaklah bersetuju untuk meminta Parlimen menggubal akta berkenaan menurut Perkara 76(1)(c).
“Semua Dewan Undangan Negeri hendaklah meluluskan satu resolusi bagi membenarkan Parlimen menggubal Akta Halal,” katanya.
Menurutnya, proses berkenaan perlu melalui rundingan antara negeri bagi memastikan semua negeri bersetuju dengan penggubalan Akta Halal itu.
Menjelaskan kepentingan sesuatu Akta diwujudkan, katanya, Akta ada pelbagai tujuan antaranya adalah memberi kuasa, melaksana dasar kerajaan, menyelesaikan masalah atau keperluan baharu dan mewujudkan institusi atau badan.
“Selain itu, sesuatu Akta adalah untuk memberikan hak atau perlindungan, memperbaiki undang-undang lama, memenuhi kehendak Perlembagaan atau Undang-Undang Antarabangsa.
“Walaupun begitu, tidak semua perkara hanya boleh dibuat melalui Akta. Mungkin diperlukan hanya dasar atau peraturan,” katanya.
Harian Metro menyiarkan laporan eksklusif secara bersiri mulai 25 September lalu mengenai isu halal, keperluan mewujudkan satu Akta Halal khusus lebih komprehensif yang wajar dipertimbangkan kerajaan bagi memperkukuh penguatkuasaan serta menangani penyalahgunaan logo, istilah dan dakwaan halal.
Turut dilaporkan Skuad Khas Harian Metro adalah pendedahan Aktivis Pejuang Halal, Naim Malik, yang mendakwa dia diugut bunuh dan terima pelbagai ugutan lain kerana membongkar premis makanan yang beroperasi tanpa sijil halal.
Susulan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam satu kenyataan berkata, tindakan sitaan sudah diambil terhadap satu restoran mi tarik tular di Kajang yang didakwa menggunakan logo halal tidak diiktiraf pihaknya dan premis itu didapati bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
© New Straits Times Press (M) Bhd




