Kerusi Parlimen PJ diisytihar kosong – Timbalan Speaker Dewan Rakyat

Kerusi Parlimen PJ  diisytihar kosong – Timbalan Speaker Dewan Rakyat

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerusi Parlimen Petaling Jaya diisytiharkan kosong selepas penyandangnya, Lee Chean Chung, meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen berkuat kuasa Jumaat lalu, susulan keputusan penggantungan keahliannya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) selama tiga tahun.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Nor, berkata Chean Chung sudah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada tarikh berkenaan.

“Yang Berhormat Ahli Parlimen Petaling Jaya sudah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Ahli Dewan Rakyat kepada Yang di-Pertua pada Jumaat (2 Oktober).

“Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga sudah memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kekosongan kerusi Parlimen itu mengikut Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Jumaat lalu, bekas wakil rakyat PKR itu mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya serta keluar daripada keahlian PKR.

Chean Chung memaklumkan beliau menerima keputusan daripada PKR pada 30 September yang menggantung keahlian partinya selama tiga tahun.

Beliau berkata, penggantungan itu berpunca daripada kelantangannya menyuarakan pelbagai isu rakyat, selain mendakwa tindakan berkenaan menyekat kebebasannya untuk menyatakan pandangan di dalam parti.

Hubungan dingin antara Chean Chung dan PKR mula memuncak pada awal Jun lalu selepas beliau mendakwa kehilangan akses kepada peruntukan kawasannya susulan kehadiran beliau ke satu acara pimpinan pembangkang.

Pada 12 Jun lalu, Chean Chung mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top