asmaini@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) adalah langkah tepat bagi meningkatkan aspek keselamatan yang memerlukan pemantauan berterusan di sekolah.
Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, fungsi dan objektif sebenar pemasangan CCTV perlu difikirkan lebih mendalam bagi memastikan sistem berkenaan benar-benar berkesan, bukan sekadar dipasang bagi memenuhi keperluan atau sebagai perhiasan.
Selain pemasangan CCTV, katanya, aspek pengurusan pemantauan serta penggunaan perisian yang bersesuaian dengan objektif turut perlu diberi perhatian supaya rakaman dapat dipantau, dianalisis dan digunakan secara berkesan.
“Tanpa perancangan menyeluruh, CCTV berisiko menjadi sistem yang tidak memberikan manfaat sebenar walaupun sudah dipasang. Kelemahan sebenar kita adalah bagi memahami perbezaan konsep pencegahan, pencelahan (intervensi) dan pemulihan.
“Apabila ini tidak difahami, maka prosedur operasi standard (SOP) akan diangkat sebagai satu-satunya cara mengekang perlakuan negatif atau mengurus ancaman yang akan berkesudahan dengan kegagalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau mengulas keperluan pemasangan CCTV di sekolah bagi meningkatkan keselamatan pelajar susulan tragedi kematian membabitkan pelajar berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor.
Mengulas lanjut mengenai peranan pengawal keselamatan di sekolah pula, Kamal Affandi berkata, peranan utama adalah untuk melindungi nyawa dan harta.
Namun, katanya, peranan itu tidak boleh dilakukan dengan baik sekiranya keutamaan adalah kepada tugas membuka pagar dan memberi tabik hormat.
“Ia memerlukan sokongan logistik dan bajet bagi melatih pengawal keselamatan supaya tindak upaya mereka seragam dan konsisten dengan kewajipan tugas,” katanya.
Dalam pada itu, Kamal berkata, penyediaan manual tindak balas kecemasan di semua sekolah juga penting kerana ketika kecemasan, adalah mustahak memastikan tiada masa terbuang dan tiada berlaku tindanan tanggungjawab.
“Selain itu, ia juga penting bagi memastikan lokasi kejadian tidak tercemar dan bahan bukti terawet. Ia adalah keperluan kritikal bagi mana-mana kakitangan sekolah yang dilantik sebagai penama bagi tugas masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Kamal berkata, berdasarkan pengalamannya, kebanyakan kes jenayah terhadap tubuh badan mangsa majoritinya dilakukan oleh rakan sebaya.
“Lingkungan sosial, habitat dan ekosistem pelajar menyebabkan interaksi mereka lebih banyak dengan rakan sebaya.
“Jadi, jika jenayah terhadap tubuh badan mangsa (di dalam sekolah) majoriti dilakukan oleh rakan sebaya,” katanya.
Menurutnya, untuk menjadi sesuatu kes jenayah, tiga elemen diperlukan pada waktu yang sama iaitu ada pelaku, ada sasaran dan juga peluang, tidak mengira apa pun motifnya.
“Ini perlu mendahului kefahaman kita jika bertujuan mencegahnya dari berlaku. Motif itu hanya muncul selepas sesuatu berlaku,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




