mukhriz.husin@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan berharap Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada 9 Oktober ini dapat menyediakan peruntukan sewajarnya bagi memperkukuh kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peruntukan itu perlu mengambil kira keperluan negara, khususnya dalam memastikan ATM mempunyai keupayaan mencukupi untuk mempertahankan negara dan melindung kedaulatan.
“Saya percaya Perdana Menteri akan memberikan pertimbangan yang sebaik berdasarkan keperluan negara dan keperluan kita untuk mempertahankan negara serta melindungi kedaulatan.
“Kita juga perlu mengambil kira cabaran yang dihadapi dan keadaan geopolitik semasa,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Siber Siaga di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan pada 9 Oktober ini di Dewan Rakyat.
Ia adalah Belanjawan MADANI kelima dengan matlamat untuk terus menuai hasil Kerangka Ekonomi MADANI dalam pengemudian negara Malaysia.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan akan terus berikhtiar meningkatkan peruntukan sektor pertahanan negara melalui Belanjawan 2027.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ia bagi memperkasakan kesiapsiagaan ATM, selain memastikan kebajikan anggota keselamatan terus terbela.
Katanya, langkah itu wajar untuk menjamin keamanan negara yang disifatkannya sebagai aset paling berharga dan perlu dipertahankan setiap masa.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, keputusan berkaitan peruntukan pertahanan perlu memastikan tahap keselamatan dan kesiapsiagaan ATM sentiasa berada pada tahap yang diharapkan.
“Saya percaya Perdana Menteri akan memberi pertimbangan yang sebaik mungkin untuk memastikan kesiapsiagaan ATM sentiasa berada pada tahap yang diharapkan,” katanya.
Katanya, perkembangan ancaman keselamatan pada masa kini turut menuntut negara meningkatkan keupayaan pertahanan dalam pelbagai domain, termasuk menghadapi ancaman siber.
“Sebagai sebuah negara yang perlu mempertahankan kedaulatan, Malaysia perlu mengambil tindakan sewajarnya dengan membuat persediaan dan meningkatkan kefahaman mengenai cabaran serta ancaman digital.
“Kita harap dapat meningkatkan kefahaman rakyat dalam soal ini supaya kita lebih bersedia dan usaha untuk terus mempertahankan kedaulatan negara dapat dicapai,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




