Isu pelarian Rohingya di Malaysia boleh menjadi ‘bom nuklear’ sekiranya terus dibiarkan tanpa penyelesaian tegas dan adil, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Malaysia tak sepatutnya terus pikul isu secara bersendirian
Memetik laporan daripada Sinar Harian, beliau menyatakan Malaysia tidak sepatutnya terus memikul isu berkenaan secara bersendirian, sedangkan jumlah pelarian Rohingya di negara ini terus meningkat dan negara lain yang sebelum ini dijangka membantu proses penempatan semula belum mengambil jumlah sewajarnya.
“Malaysia walaupun saiz dan populasinya jauh lebih kecil daripada negara-negara jiran, kadar rasmi 130,000 Rohingya di Malaysia, tidak rasmi melangkaui 200,000
“Lihat contohnya di Indonesia, (jumlah Rohingya) kurang 2,600, Thailand kurang 500 dan India kurang 20,000. Ia menunjukkan bahawa janji tidak tertunai, Malaysia akhirnya perlu serap segala masalah, tetapi diserap sekadar berseorangan, sambil yang lain kekal bahagia.
“Seperti kita sahaja yang perlu menyelesaikan masalah ini,” katanya ketika berbahas pada sesi penerangan Pengurusan Pelarian di Malaysia di Dewan Rakyat, Isnin.
Foto: Parlimen Malaysia
Berisiko buka ruang sindiket perdagangan manusia
Syed Saddiq turut menegaskan Malaysia sebelum ini dijanjikan sebagai lokasi sementara bagi proses dokumentasi sebelum pelarian ditempatkan semula ke negara lain.
Beliau menambah, keadaan yang berlarutan juga berisiko memberi ruang kepada sindiket penyeludupan dan perdagangan manusia untuk mengambil kesempatan.
“Kalau Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tidak tegas bertindak, kita secara tidak langsung memberikan insentif kepada penyeludup untuk terus membawa ribuan ataupun puluhan ribu datang ke Malaysia.
“Saya cadangkan TLDM dan APMM mengambil pendekatan ‘toleransi sifar’ terhadap kemasukan pelarian secara tidak terkawal melalui laluan laut,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan Dewan Rakyat menubuhkan Jawatankuasa Khas secara dwipartisan bagi mencari penyelesaian isu berkenaan tanpa menjadikannya bahan politik.
“Kita perlu cari jalan tengah, di mana kita tegas bertindak sambil menunjukkan sedikit peri kemanusiaan supaya kita dapat menyelesaikan masalah ini tidak kira siapa pun yang mengambil alih kerajaan.
“Saya yakin ada kemahuan politik tetapi perlu ada keberanian politik untuk kita bertindak bersama,” ujarnya.
Sumber: Sinar Harian (Diana Azis)




