Terima kasih TMJ dan Perdana Menteri- Cheng Hoe

Terima kasih TMJ dan Perdana Menteri- Cheng Hoe

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Jakarta: Kemenangan ke atas Vietnam bukan sekadar menghadiahkan tempat ketiga buat Harimau Malaya dalam Piala ASEAN FIFA 2026, malah menjadi penutup kempen yang cukup bermakna selepas skuad negara menamatkan saingan tanpa kalah dan bolos.

Pengendali sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil semangat kebersamaan semua pihak selain merakamkan penghargaan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan kepada pasukan negara.

Cheng Hoe turut memuji persembahan barisan pemain yang disifatkannya beraksi dengan cukup baik dan hebat ketika menundukkan Vietnam 1-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), hari ini.

“Terima kasih kepada Tunku Mahkota Ismail dan kita tidak lupakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga pemain yang bermain dengan baik dan beraksi dengan cukup hebat.

“Kita lawan bersama, keputusan yang baik. Kita sudah lebih 10 tahun tewaskan Vietnam dan pasukan ini menjadi lebih baik pada masa akan datang,” katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan, sebentar tadi.

Kemenangan itu hadir menerusi jaringan Fergus Tierney pada minit ke-61 selepas pemain berkenaan melepaskan rembatan dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Vietnam, Patrik Le Giang.

Tierney yang dimasukkan pada separuh masa kedua menggantikan Bergson da Silva kemudian muncul watak penting untuk memastikan Malaysia mengekalkan kelebihan sehingga wisel penamat.

Vietnam berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-74 selepas pengadil Ko Hyung-jin menghadiahkan sepakan penalti, namun keputusan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Kejayaan itu menyaksikan Harimau Malaya menamatkan kempen Piala ASEAN FIFA 2026 di tempat ketiga, sekali gus menutup saingan dengan rekod tanpa kalah dan tidak bolos.

Bagi Tierney, dia cukup gembira dapat membantu Malaysia meraih kemenangan dalam perlawanan penentuan tempat ketiga selain mengakui kejayaan itu turut didorong sumbangan rakan sepasukan.

“Saya sangat gembira dapat membantu Malaysia untuk memenangi perlawanan di tempat ketiga dan cukup baik dengan barisan pemain lain juga banyak membantu,” katanya.

Kemenangan itu turut menamatkan penantian Malaysia untuk menewaskan Vietnam selepas 12 tahun, sekali gus memberikan suntikan positif buat Harimau Malaya untuk terus berkembang pada masa akan datang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top