am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Jenazah dua beranak yang maut dalam nahas di Kilometer 38.5 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, semalam dikebumikan dalam satu liang.
Jenazah Tuan Shazrin Tuan Mud, 40, dan anak perempuannya, Safiyya Haura Mohamad Sanuzi, 3, disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Dusun, Sering di sini, selepas disolatkan di Masjid Umari, Mukim Telaga Bata.
Ahli keluarga arwah, Roslah Mat, 40, mengakui terkejut apabila dimaklumkan pemergian Tuan Shazrin selepas dua tahun tidak berjumpa, memandangkan Allahyarham menetap di Perak.
“Sebaik dapat tahu dia maut dalam nahas bersama anak yang masih kecil, memang sangat sedih. Hanya doa yang dapat diutuskan,” katanya ketika ditemui.
Dua lagi mangsa yang maut dalam nahas itu, Al Zubair Deraman, 31, dan Mohamad Hafiz Daniel Nik Hairey, 19, masing-masing dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Sadang, Pengkalan Chepa dan Kampung Tok Jawa, Bachok.
Seorang lagi anak Tuan Shazrin iaitu Mohammad Shiraz Hammani Abdul Fattah, 9, dilapor parah dan dirawat di Hospital Taiping.
© New Straits Times Press (M) Bhd




