KPDN Kedah ambil sampel petrol didakwa bercampur air

KPDN Kedah ambil sampel petrol didakwa bercampur air

Alor Setar: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah mengambil sampel petrol RON95 dari 11 stesen minyak di beberapa daerah untuk dianalisis susulan dakwaan bahan api itu bercampur air seperti tular baru-baru ini.

Pengarah KPDN negeri Muhammad Nizam Jamaludin berkata, tindakan diambil selepas pihaknya menerima aduan orang ramai bahawa kenderaan mereka rosak selepas mengisi minyak di stesen terbabit.

“Pasukan penguat kuasa KPDN telah menjalankan pemeriksaan di 11 stesen minyak pada hari ini dan mengambil sampel bahan api dari tangki atau pam yang terlibat untuk tujuan pemeriksaan serta analisis lanjut.

“Pemeriksaan awal melalui kaedah manual dipping dan semakan bacaan sistem Automatic Tank Gauge (ATG) tidak menunjukkan kehadiran air di dalam tangki simpanan bahan api yang diperiksa,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, stesen minyak yang diperiksa melibatkan jenama Petron dan Caltex di daerah ini, Kubang Pasu, Sungai Petani dan Kulim.

Muhammad Nizam berkata, pemeriksaan turut meliputi semakan rekod penerimaan bekalan dan jualan bahan api bagi tempoh berkaitan, selain mendapatkan dokumen serta maklumat daripada pengusaha stesen minyak.

Beliau berkata, bagaimanapun, hasil pemeriksaan awal masih belum boleh dianggap sebagai keputusan muktamad berhubung dakwaan petrol bercampur air.

“Pada peringkat ini, KPDN tidak membuat sebarang kesimpulan bahawa bahan api berkenaan telah bercampur dengan air sehingga keputusan analisis sampel diperoleh dan siasatan lanjut selesai dijalankan,” katanya.

Muhammad Nizam berkata, sampel berkenaan akan dikemukakan kepada Jabatan Kimia manakala pengusaha stesen minyak turut menghantar sampel ke makmal syarikat minyak masing-masing bagi tujuan analisis lanjut.

“KPDN akan meneliti keputusan analisis dan keseluruhan hasil siasatan sebelum menentukan tindakan selanjutnya, termasuk mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat pelanggaran mana-mana peruntukan undang-undang.

“Aduan boleh disalurkan melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, Pusat Panggilan 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar EzADU KPDN,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top