Nepal hentikan operasi SAR susulan banjir Bhotekoshi-Trishuli

Nepal hentikan operasi SAR susulan banjir Bhotekoshi-Trishuli

KATHMANDU – Nepal memutuskan untuk menghentikan fasa mencari dan menyelamat yang dilancarkan susulan banjir dahsyat di sungai Bhotekoshi dan Trishuli pada 26 Ogos, selepas harapan untuk menemukan mangsa yang masih hilang semakin tipis 40 hari selepas bencana itu, kata Sekretariat Perdana Menteri pada Isnin, lapor Xinhua.

Mesyuarat Majlis Kebangsaan Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana yang dipengerusikan Perdana Menteri Balendra Shah pada Isnin mengarahkan agensi berkaitan mempercepatkan usaha pembinaan semula dan pemulihan, sambil meneruskan hanya operasi mencari yang penting.

Menurut sekretariat itu, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan syor Jawatankuasa Keselamatan Daerah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Jawatankuasa Eksekutif Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMA), serta hasil pemeriksaan di lapangan.

Seramai 1,455 orang disahkan maut manakala 5,285 lagi masih hilang setakat 3 Okt susulan banjir besar itu, menurut NDRRMA.

Mesyuarat itu turut memutuskan untuk mencadangkan peruntukan sebanyak 559.18 bilion rupee Nepal (AS$3.62 bilion – RM14.8 bilion) kepada Kementerian Kewangan bagi pelan dan program membina semula serta memulihkan kawasan yang terjejas akibat banjir dan bencana lain berkaitan musim monsun.

Dalam mesyuarat itu, Shah berkata, usaha pengurusan bencana dilaksanakan melalui penyelarasan antara kerajaan persekutuan, kerajaan wilayah dan kerajaan tempatan.

Beliau berkata, usaha pembinaan semula dan pemulihan juga akan dilaksanakan menerusi mekanisme yang sama. – Bernama 

 

 

Scroll to Top