Rapid Penang pandu uji bas elektrik

Rapid Penang pandu uji bas elektrik

audreymd@nst.com.my

Georgetown: Rapid Penang mula menjalankan ujian bas elektrik sebagai sebahagian daripada persediaan untuk memperkenalkan pengangkutan awam rendah karbon di Pulau Pinang.

Ujian bas elektrik selama dua hari bermula hari ini.

Ujian ini menyusuli sesi serupa yang dijalankan oleh Rapid KL dan sebahagian daripada usaha berterusan Rapid Bus Sdn Bhd untuk menggantikan bas sedia ada dengan kenderaan yang lebih selamat, mampan dan mesra alam, di samping meningkatkan kecekapan operasi.

Menurut kenyataan di laman Facebooknya, dua bas elektrik daripada pengeluar berbeza akan diuji secara berasingan di laluan terpilih.

Bas-bas itu terdiri daripada bas Foton sepanjang 12 meter (m) dan bas Golden Dragon sepanjang 8.25 m.

Ujian ini akan menilai kesesuaian dan keupayaan operasi kenderaan itu dalam keadaan sebenar di Pulau Pinang, termasuk keserasian laluan, keadaan trafik, penggunaan tenaga, prestasi pengecasan, aspek keselamatan serta keselesaan penumpang.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Syahrul Azmir Ahmad Zaki berkata, ujian itu menandakan langkah penting ke arah memperkenalkan bas elektrik pertama di Pulau Pinang.

“Ia penanda aras penting bagi memastikan pasukan operasi mempunyai data dan pengalaman yang mencukupi untuk menilai prestasi, keupayaan dan keperluan operasi bas elektrik dalam keadaan sebenar sebelum ia diperkenalkan di laluan sedia ada,” katanya.

Rapid Penang juga sedang menyediakan infrastruktur sokongan yang diperlukan, termasuk kemudahan pengecasan, kemudahan penyelenggaraan, latihan kakitangan dan keperluan operasi yang lain.

Bas-bas elektrik itu akan diperkenalkan secara berperingkat selepas ujian berkenaan selesai, dengan Rapid Penang terus memperkukuh kesediaan operasi serta melakukan penambahbaikan bagi memastikan perkhidmatan yang lancar untuk penumpang.

Rapid Penang kini pada fasa pertama perolehan 75 bas elektrik, dengan penghantaran dijadualkan secara berperingkat sehingga Mac 2027.

Perolehan ini sebahagian daripada program penggantian bas yang lebih meluas di Pulau Pinang yang membabitkan 240 bas elektrik dan 70 bas diesel baharu.

Inisiatif ini juga selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030, di samping menyokong usaha Pulau Pinang untuk menggalakkan mobiliti bandar yang mampan.

Ia juga sejajar dengan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang dan Agenda Hijau Pulau Pinang oleh kerajaan negeri, yang bermatlamat menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri paling hijau di Malaysia menjelang tahun 2030.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top