London: Britain sedang mempertimbangkan untuk mengenakan tarif terhadap import kenderaan elektrik (EV) dari China susulan kebimbangan kemasukan kenderaan bersubsidi dari negara itu ke pasaran Britain. Jonathan Reynolds
Akhbar The Times melaporkan Menteri Perniagaan Britain, Jonathan Reynolds, berkata pihaknya sedang merangka pakej tarif berpotensi terhadap import kenderaan China.
Berdasarkan laporan itu, langkah berkenaan dipertimbangkan susulan kebimbangan pengeluar China menjual kenderaan bersubsidi mereka di pasaran Britain pada harga yang menjejaskan persaingan.
Setakat ini Reuters belum dapat mengesahkan laporan itu.
Jurucakap kerajaan Britain ketika diminta mengulas berkata, setakat ini tiada tarif dikenakan terhadap kereta elektrik dari China.
“Kami terus berunding rapat dengan industri supaya pendekatan kami mencerminkan kepentingan sektor berkenaan dan kepentingan nasional United Kingdom (UK),” katanya dalam e-mel.
The Times turut melaporkan, menteri Britain bersedia menyamai tarif 45 peratus yang dikenakan Kesatuan Eropah (EU) terhadap kereta elektrik dari China.
Langkah itu bertujuan mengelakkan kesan daripada cadangan ‘Made in Europe’ yang berpotensi menjejaskan syarikat Britain yang menjual kenderaan ke pasaran EU.
Dasar “Dibuat di Eropah” itu bertujuan mengurangkan kebergantungan EU terhadap komponen dari China dengan mengutamakan barangan yang dibuat di Eropah.
Dasar berkenaan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengeluar kereta Britain kerana mereka membekalkan komponen kepada kilang di Eropah dan menjual kenderaan di seluruh EU.
Bulan lalu, Burnham dilaporkan berkata beliau akan berusaha supaya Britain dianggap sebagai “rakan kongsi dipercayai” di bawah peraturan EU yang dicadangkan.
Beliau memberi amaran, jika Britain dikecualikan daripada peraturan itu, industri automotif negara berkenaan boleh terjejas.
Financial Times melaporkan pada September bahawa Brussels menggesa Perdana Menteri Britain, Andy Burnham, supaya menyelaraskan dasar perdagangan Britain dengan EU dan menaikkan tarif terhadap kereta China jika Britain mahu mengelakkan sekatan di bawah dasar “Dibuat di Eropah”.
Menurut The Times yang memetik sumber kanan kerajaan, menteri Britain berpandangan sebarang keputusan mengenai tarif perlu dibuat berdasarkan kepentingan negara dan bukan sekadar mengikut langkah EU.
© New Straits Times Press (M) Bhd




