PETALING JAYA: Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menitipkan doa agar seorang pelajar Tingkatan Satu di Kulim yang cedera parah selepas dipercayai terjun dari tingkat tiga bangunan sekolah diberikan kesembuhan dan dipermudah segala urusannya.
Memuatkan artikel berkaitan…
Radzi berkata, berdasarkan maklumat polis, pelajar berkenaan cedera parah selepas dipercayai terjun dari tingkat tiga sebuah sekolah di Kulim.
“Sama-sama kita doakan anak ini diberikan kesembuhan dan dipermudah segala urusan,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 petang ketika waktu rehat.
Beliau berkata, polis menerima laporan daripada guru lelaki berusia 48 tahun mengenai penemuan pelajar dalam keadaan terbaring di lantai berhampiran tangga Blok E sekolah berkenaan.
“Pengadu kemudian pergi ke lokasi dan mendapati mangsa masih sedar serta boleh bercakap sebelum dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Kulim.
“Hasil temu bual polis dengan mangsa mendapati dia mengaku terjun sendiri dari tingkat tiga bangunan sekolah kerana mengalami tekanan berkaitan akademik,” katanya.
Beliau berkata, mangsa mendakwa sering membandingkan pencapaian akademiknya dengan kakaknya berusia 16 tahun yang kini belajar di Tingkatan Empat di sekolah sama.
“Menurut mangsa, peperiksaan akan berlangsung pada minggu depan dan dia bimbang tidak dapat memenuhi harapan ibu bapanya,” katanya.
Syamsul berkata, siasatan turut mendapati pelajar perempuan pernah melihat hantaran Instagram Story mangsa sehari sebelum kejadian yang menyatakan mengenai tekanan berkaitan pelajaran dan keluarga, namun hantaran berkenaan sudah dipadam. – UTUSAN




