am@hmetro.com.my
Nibong Tebal: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia pada bila-bila masa untuk memberikan khidmat kaunseling kepada keluarga Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal.
Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, pihaknya akan berbuat demikian, sebaik mereka mahu mendapatkan bantuan berkenaan.
“Kita sangat bersimpati dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga yang terbabit.
“Kita berharap keluarga dapat menerima ujian ini dengan tabah dan sama-sama kita mendoakan mereka diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Program Kampung Angkat MADANI di Masjid Al Fatah, Sungai Acheh, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Che Murad berkata, JKM mempunyai kaunselor yang sentiasa bersedia untuk memberikan sokongan psikososial kepada ahli keluarga mangsa sekiranya diperlukan.
“Kaunselor-kaunselor JKM sentiasa bersedia memberikan khidmat apabila diperlukan.
“Bagaimanapun, pada masa ini, biarlah keluarga diberi ruang untuk bertenang terlebih dahulu.
“Apabila mereka bersedia mendapatkan bantuan, insyaAllah JKM akan memberikan sokongan yang diperlukan pada bila-bila masa,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Irene Sofiya ditemukan maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor, Sabtu lalu.
Mangsa berusia 16 tahun yang juga pelajar tingkatan empat sekolah berkenaan ditemukan neneknya yang datang ke sekolah terbabit selepas menyedari cucunya tidak pulang ke rumah, kira-kira 5.30 petang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




