PARLIMEN: KUSKOP teliti potongan kredit iklan platform e-dagang

PARLIMEN: KUSKOP teliti potongan kredit iklan platform e-dagang

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan mengangkat isu potongan hasil jualan oleh platform e-dagang untuk kredit pengiklanan kepada kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mempunyai pilihan untuk tidak menyertainya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, pihaknya mengambil maklum kebimbangan usahawan berhubung amalan sesetengah platform e-dagang termasuk Shopee yang membuat potongan daripada hasil jualan bagi tujuan kredit iklan.

Katanya, perkara itu sebelum ini turut dibangkitkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta agensi berkaitan bagi meneliti mekanisme opt-out seperti yang dicadangkan.

“Kita faham bahawa apabila perkara itu dilaksanakan, ia akan memberi implikasi kepada aliran tunai dan modal pusingan PMKS, dan sekiranya tidak ditangani, ia boleh menjejaskan kelangsungan operasi mereka.

“Insya-Allah, kita akan ambil maklum dan mengangkat perkara ini kepada kementerian serta agensi berkaitan untuk meneliti permintaan dan kebimbangan yang dibangkitkan usahawan PMKS,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) yang membangkitkan aduan PMKS tempatan mengenai potongan sebahagian hasil jualan oleh platform e-dagang yang ditukar kepada kredit pengiklanan dan tidak boleh ditukarkan kepada tunai.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, aspek penguatkuasaan, kawal selia dan kaedah perdagangan menerusi platform e-dagang berada di bawah bidang kuasa kementerian lain.

Bagaimanapun katanya, KUSKOP akan mengambil pendekatan rentas kementerian bagi memastikan kebimbangan usahawan PMKS berhubung perkara itu dapat diberi perhatian.

“Dalam konteks ini, soal penguatkuasaan ataupun kawal selia, ataupun cara bagaimana mereka nak berdagang melalui e-dagang memang di bawah kementerian yang lain, tetapi kita akan membuat tindakan secara bersepadu ketika kita cross-ministry.

“Insya-Allah, kita akan buat yang terbaik demi membela nasib usahawan PMKS,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, isu membabitkan PMKS di pulau bebas cukai termasuk Langkawi dan Labuan akan dibincangkan dalam Majlis Pembangunan Usahawan PMKS Kebangsaan.

Katanya, terdapat beberapa peraturan dan undang-undang berkaitan operasi PMKS di pulau bebas cukai yang mungkin perlu diperhalusi, terutama membabitkan pengenaan cukai terhadap produk yang dibawa keluar dari kawasan berkenaan.

“Kita mempunyai Majlis Pembangunan Usahawan PMKS Kebangsaan. Dalam mesyuarat itu, kita akan bincangkan semua isu yang melibatkan PMKS kita, termasuk yang berada di Langkawi.

“Kita tahu Langkawi adalah pulau bebas cukai. Mungkin ada beberapa peraturan dan undang-undang yang perlu kita perhalusi,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top