UPTM himpunkan 37 band tempatan, persembahan muzik 13 jam

UPTM himpunkan 37 band tempatan, persembahan muzik 13 jam

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) menghimpunkan 37 band tempatan menerusi CommFest: RENTARA 2026 bagi menjayakan persembahan muzik secara langsung selama 13 jam tanpa henti, sekali gus menyasarkan percubaan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori The Most Live Band Performed In An Event.

Program bertemakan ‘Muzik Melakar Hari’ itu berlangsung dari 10 pagi hingga 11 malam di Auditorium Menara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), pada 3 Oktober lalu.

RENTARA 2026 menjadi antara pengisian utama FESSHtival x MPAJ 2026 yang membawa tema ‘Semarakkan Kreativiti, Eratkan Komuniti’ dan dianjurkan Fakulti Pendidikan, Sains Sosial dan Kemanusiaan (FESSH), UPTM dengan kerjasama MPAJ.

Lebih daripada sekadar festival muzik, penganjuran berkenaan turut menjadi platform mengetengahkan bakat tempatan selain memberi peluang kepada pelajar UPTM merasai pengalaman sebenar mengurus acara berskala besar.

Program itu dianjurkan pelajar Semester 7 dan 8 Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Komunikasi Korporat (BK201) sebagai sebahagian daripada keperluan akademik bagi kursus COC4024: Communication Final Project.

Menerusi konsep ‘Experience-to-Employability’, pelajar terbabit diberi peluang mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari dalam bilik kuliah kepada situasi sebenar, khususnya dalam aspek perancangan, pengurusan dan pelaksanaan program.

Antara tanggungjawab yang digalas pelajar termasuk pengurusan komunikasi, media, tetamu, vendor, fasilitasi serta operasi acara, sekali gus memberi pendedahan terhadap tuntutan sebenar dalam pengurusan acara dan industri kreatif.

Dalam masa yang sama, persembahan selama 13 jam tanpa henti itu menjadi ruang kepada band tempatan untuk mengetengahkan bakat serta muzik mereka kepada khalayak lebih luas, selain mengeratkan hubungan antara pemuzik dan komuniti.

RENTARA 2026 itu menggabungkan tiga elemen utama iaitu pengalaman pembelajaran sebenar bagi pelajar, ruang mengetengahkan bakat dan muzik tempatan serta pembabitan universiti, industri kreatif dan komuniti.

Majlis penutup disempurnakan Pengarah Kanan Pelaburan MARA Lailatul Asmah Mohd Tahir dan disaksikan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Pengantarabangsaan UPTM Dr Mohd Erfino Johari, Timbalan Yang Dipertua MPAJ Ts Hasrolnizam Shaari dan Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA Shahrizal Mohd Saderi serta Pengarah Perundangan dan Kesetiausahaan Korporat MARA Corporation Nazli Hani Saat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top