Villa disewa sindiket penipuan sasar warga Jepun diserbu

Villa disewa sindiket penipuan sasar warga Jepun diserbu

am@hmetro.com.my

Melaka: Sebuah villa di kawasan kampung yang disewa puluhan ribu ringgit sebulan dikesan dijadikan pusat operasi sindiket penipuan telefon yang menyasarkan mangsa di Jepun.

Kegiatan itu terbongkar selepas polis menyerbu villa berkenaan di Jalan Lama Bukit Punggor, Kampung Bukit Punggor, Alai, di sini, kira-kira jam 2.30 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah hasil maklumat dan risikan.

Katanya, serbuan itu membawa kepada penahanan 17 warga asing terdiri daripada 11 warga Jepun, empat warga China dan dua warga Myanmar berusia 23 hingga 55 tahun.

“Semua suspek yang ditahan membabitkan 14 lelaki dan tiga perempuan.

“Pemeriksaan mendapati beberapa individu berada di hadapan peralatan komputer yang ditempatkan dalam tiga bilik berasingan daripada keseluruhan sembilan bilik di premis terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas 21 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah komputer riba, dua monitor, dua unit pemprosesan pusat (CPU), dua papan kekunci, dua tetikus dan sebuah router, buku nota, 28 keping kertas cetakan komputer yang dipercayai mengandungi skrip dalam bahasa Jepun serta dua alat kawalan jauh pintu pagar dengan nilai keseluruhan rampasan RM25,000.

Halim berkata, villa berkenaan dipercayai digunakan sebagai pusat operasi menjalankan kegiatan penipuan telefon menyasarkan warga Jepun.

“Sindiket ini dipercayai mula beroperasi di Melaka sejak awal Ogos lalu dengan semua suspek dipercayai berperanan mencari dan menghubungi mangsa warga Jepun melalui panggilan telefon.

“Polis turut menemui 28 keping kertas cetakan komputer yang dipercayai mengandungi skrip dalam bahasa Jepun dan ia kini sedang diteliti sebagai sebahagian daripada siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kaedah memperdayakan mangsa, skrip panggilan, identiti digunakan, kaedah pembayaran, aliran wang serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

“Analisis lanjut terhadap barang kes turut dijalankan bagi mengenal pasti modus operandi penuh, peranan setiap suspek, identiti dalang sindiket, mangsa yang terbabit serta aliran kewangan kumpulan berkenaan.

“Ini kali pertama pihak polis menahan anggota sindiket yang membabitkan warga Jepun,” katanya.

Halim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan semua suspek direman 14 hari bermula semalam hingga 18 Oktober ini.

“Hasil pemeriksaan mendapati hanya lima daripada 17 warga asing dari Jepun yang ditahan mempunyai pasport, manakala status dokumen perjalanan, pas lawatan dan permit kerja kesemua suspek masih dalam semakan,” katanya lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top