Penuntut maut dicekik teman lelaki: Rakan sebak, sukar terima pemergian tragis

Penuntut maut dicekik teman lelaki: Rakan sebak, sukar terima pemergian tragis

alagesh@nst.com.my

Kuantan: Seorang penuntut politeknik masih terkejut dan sukar menerima pemergian tragis rakan baiknya, yang ditemukan meninggal dunia dipercayai dicekik selepas bertengkar dengan teman lelakinya.

Penuntut diploma yang enggan dikenali berkata, dia pasti akan merindui kenangan mereka bersama sejak menuntut di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) tahun lalu.

Katanya, antara kenangan yang paling diingati ialah makan bersama-sama yang menjadi sebahagian daripada rutin persahabatan mereka.

“Kami biasanya akan berjumpa dan makan bersama. Dia seorang yang lemah lembut dan periang.

“Macam mana perkara ini boleh berlaku kepadanya? Banyak kenangan bersamanya dan saya tidak tahu macam mana kehidupan saya selepas ini,” katanya sebak sebak ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang penuntut berusia 19 tahun ditemui mati, dipercayai akibat dicekik selepas berlaku pertengkaran dengan teman lelakinya, di bilik sebuah rumah di di Air Putih di sini, hari ini.

Suspek lelaki berusia 19 tahun, yang berada di premis berkenaan, ditahan polis bagi membantu siasatan.

Sementara itu, bapa seorang rakan mangsa berkata, dia bergegas ke hospital sebaik dimaklumkan oleh anaknya mengenai kejadian yang berlaku di rumah yang disewa bersama mangsa.

“Saya sangat terkejut dengan kejadian ini. Macam mana dia (suspek) tergamak melakukan perbuatan tidak tidak berperikemanusiaan seperti ini?

“Memandangkan polis sudah menahan suspek, biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan,” katanya sebelum menolak untuk mengulas lanjut.

Difahamkan, mangsa dan tiga lagi rakan dari politeknik sama yang semuanya penuntut diploma menyewa dua bilik di rumah tiga tingkat berkenaan.

Semakan turut mendapati suspek berusia 19 tahun itu adalah bekas penuntut politeknik berkenaan yang sudah dibuang akibat masalah disiplin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top