Djokovic mara final, penyertaan Medvedev dibatalkan 

Djokovic mara final, penyertaan Medvedev dibatalkan 

BEIJING: Novak Djokovic mara ke final Terbuka China selepas Daniil Medvedev dibatalkan penyertaannya gara-gara bola yang dipukul pemain Rusia itu terkena penonton ketika aksi separuh akhir di Beijing.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketika Djokovic sedang melakukan servis untuk menamatkan perlawanan dengan kedudukan 7-5, 5-3, Medvedev gagal memulangkan bola sebelum bola melantun ke dinding belakang gelanggang dan dipukulnya menggunakan pukulan kilas ke arah penonton.

Bola berkenaan terkena muka seorang lelaki yang duduk di belakang kawasan Medvedev, menyebabkan pengadil menghentikan permainan sebelum penonton terbabit dibawa keluar dari tempat duduknya.

Medvedev, 30, yang menghuni ranking ke-11 dunia, mengakui kejadian itu tidak disengajakan dan memohon maaf kepada penonton berkenaan.

“Saya benar-benar meminta maaf kepada penonton itu. Ia 100 peratus kemalangan. Bola melantun kembali, jadi saya cuba memukulnya ke mana-mana supaya ia tidak keluar dari gelanggang,” katanya.

Djokovic, 39, turut mengakui insiden itu berlaku secara tidak sengaja dan bersimpati dengan Medvedev, malah mengimbas pengalaman pahitnya dibatalkan daripada Terbuka Amerika Syarikat 2020 selepas secara tidak sengaja memukul bola ke arah hakim garisan.

“Saya tahu perasaannya. Ia sesuatu yang mengerikan, tetapi perkara seperti ini boleh berlaku,” kata pemain Serbia itu yang akan berdepan Alex de Minaur pada final, esok.

Sebelum insiden tersebut, Djokovic terpaksa bekerja keras dalam perlawanan sengit apabila menyelamatkan 16 mata break, selain beraksi agresif dari garisan belakang hingga ke jaring untuk mengatasi Medvedev.

De Minaur pula mara ke final selepas lawannya, Hubert Hurkacz menarik diri ketika separuh akhir akibat kecederaan otot adductor. – AGENSI/UTUSAN

Scroll to Top