TELUK INTAN: Sebanyak 148 karton rokok disyaki tidak bercukai dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di sekitar daerah ini, semalam.
Memuatkan artikel berkaitan…
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, serbuan menerusi Op Taring Landai (Op Kontraban) itu dilakukan Unit Risikan Marin, Kampung Acheh, Sitiawan.
Katanya, pemeriksaan di premis berkenaan menemukan beberapa kotak mengandungi rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak mempunyai setem cukai Kastam yang sah.
“Kesemua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan, pihak yang terlibat dan rangkaian pengedaran rokok tidak bercukai berkenaan.
Katanya, orang ramai diingatkan agar tidak memiliki, menyimpan, menjual atau mengedar rokok tidak bercukai kerana kegiatan itu menyalahi undang-undang sekali gus menyebabkan ketirisan hasil kerajaan.
“IPD Hilir Perak akan terus mempergiatkan operasi dan risikan bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan pengedaran barangan kontraban.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan berkenaan diminta menyalurkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN




