MSI perkenal laptop kelas permainan terbaharu

MSI perkenal laptop kelas permainan terbaharu

saufi@mediaprima.com.my

Pengeluar komputer riba permainan terkemukq, MSI memperkenalkan generasi baharu Crosshair A16 HX MLG Edition.

Komputer riba itu menggunakan cip pemproses AMD Ryzen 9 8940HX dan Unit Pemproses Grafik (GPU) NVIDIA GeForce RTX 5070 dengan memori GDDR7 12GB.

Pengurus Pemasaran Notebook MSI Malaysia, Chris Liao berkata, pemain di negara ini mahukan komputer riba berprestasi tertinggi, namun semakin mahukan unsur personaliti.

Menurutnya, model berkenaan menawarkan kedua-duanya menerusi reka bentuk Stellar White yang diilhamkan kisah LOONG:NIA, watak asal diilhamkan naga yang dikenali sebagai MLG.

“Menyentuh aspek prestasi, komputer riba itu dilengkapi dengan teknologi MSI OverBoost membolehkan kuasa keseluruhan CPU dan GPU sehingga 190W, manakala sistem Cooler Boost dengan dua kipas, lima paip haba dan reka bentuk heatsink empat ekzos menstabilkan prestasi ketika beban berat.

“Paparannya berukuran 16 inci QHD+ (2560 x 1600) dengan kadar segar 240Hz dan liputan warna 100 peratus DCI-P3 tipikal,” katanya.

Bahagian kerangka Stellar White mempunyai kilauan seakan mutiara dengan pantulan merah api yang berubah mengikut sudut cahaya, selain kaki getah merah, papan kekunci putih dan pencahayaan RGB empat zon.

Komputer riba itu turut menyokong memori DDR5 dua slot sehingga 96GB, storan PCIe Gen4 dan Gen5 dengan SuperRAID 5, Wi-Fi 6E, output HDMI 2.1 serta USB Type-C dengan DisplayPort dan Power Delivery.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran NB MSI, Derek Chen berkata, gabungan perkakasan berkuasa, pengoptimuman pintar, penyejukan canggih dan reka bentuk unik memberi pengguna komputer riba yang menyerlah.

Menurutnya, konfigurasi Ryzen 9 8940HX dan RTX 5070 dijual pada harga RM10,499 bersama pek eksklusif MLG yang mengandungi tetikus, fon kepala dan pad tetikus.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top