Inkues: Kakak tiri tidak pernah jumpa, tinggal bersama Zara Qairina

Inkues: Kakak tiri tidak pernah jumpa, tinggal bersama Zara Qairina

Kota Kinabalu: Kakak tiri Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau tidak pernah tinggal bersama remaja itu dan tidak mengetahui secara langsung bagaimana ibu Zara Qairina menjaga serta membesarkan anaknya.

Malianah Mahathir, 25, yang merupakan saksi ke-81 berkata pengetahuannya mengenai kehidupan Zara Qairina dan keluarganya banyak diperoleh menerusi hantaran di media sosial selain maklumat daripada bapanya.

Ketika disoal peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara Qairina, Malianah berkata beliau pernah melihat gambar keluarga berkenaan menerusi akaun Facebook Zara Qairina, ibu Zara Qairina dan bapanya.

“Saya cuma melihat melalui hantaran Facebook, saya selalu melihat-lihat gambar mereka. Keluarga bahagia kan,” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada prosiding inkues hari ini.

Beliau berkata bapanya sering memuat naik gambar keluarga termasuk ketika Zara Qairina masih bayi serta gambar percutian mereka bersama.

Ketika menjawab soalan Koroner Amir Shah, Malianah mengesahkan bahawa beliau tidak pernah berjumpa atau berinteraksi secara peribadi dengan Zara Qairina sejak remaja itu dilahirkan sehingga meninggal dunia.

Beliau turut mengakui bahawa segala maklumat yang diketahuinya mengenai Zara Qairina diperoleh daripada penceritaan orang lain dan bukan daripada remaja itu sendiri.

Malianah juga bersetuju bahawa keterangannya di mahkamah berkaitan pengalaman tidak baik yang pernah dilaluinya bersama ibu Zara Qairina dan bukan pengalaman bersama Zara Qairina.

Koroner kemudian bertanya sama ada ibu Zara Qairina melayannya dengan buruk setiap hari sepanjang tempoh mereka tinggal bersama, Malianah menjawab: “Ah tidaklah.”

Ketika disoal peguam Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip yang mewakili bapa Zara Qairina, Malianah turut mengakui bahawa ketika mula tinggal bersama ibu Zara Qairina, beliau pada awalnya gembira mendapat seorang “mama baru” dan pernah dilayan dengan baik.

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas pelajar Tingkatan Satu itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolahnya pada 4 pagi.

Prosiding inkues bersambung esok dengan saksi baharu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top