Sangkal artis Nasyid dipinggirkan di AIM, Inteam anggap berlaku salah faham

Sangkal artis Nasyid dipinggirkan di AIM, Inteam anggap berlaku salah faham

KUALA LUMPUR: Anggota kumpulan Inteam, Muhammad Hazamin Harun menyifatkan luahan membabitkan seorang penyanyi nasyid yang mendakwa menerima layanan ‘double-standard’ oleh pihak media ketika Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-25 pada bulan lalu kerana salah faham yang berlaku atas faktor teknikal.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Hazamin, kategori nasyid merupakan antara kategori terawal yang diumumkan pada malam anugerah berkenaan, malah mereka juga berdepan dengan situasi yang sama selepas diumumkan sebagai pemenang kategori Vokal Kumpulan Terbaik.

“Saya rasa ada sedikit salah faham. Kategori Lagu Nasyid Terbaik adalah yang terawal diumumkan. Apabila pemenang keluar dari dewan, mungkin media ketika itu belum benar-benar bersedia.

“Malah ketika giliran kami yang diumumkan selepas itu pun, keadaan masih belum sepenuhnya bersedia.

“Jadi saya rasa situasi itu lebih kepada salah faham dari segi teknikal,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Rindu Sumayyah Hijjaz di Istana Budaya (IB) di sini, hari ini.

Hazamin bagaimanapun memuji pengurusan dan hospitaliti penganjuran acara berprestij yang buat julung kalinya dianjurkan di Bumi Kenyalang tersebut.

“Secara peribadi, saya puji penganjuran AIM di Sarawak kerana sambutan dan hospitalitinya memang sangat baik.

”Kami tidak rasa seperti tidak dilayan. Secara jujur, kami menikmati pengalaman itu. Media pula datang untuk memberikan liputan kepada pemenang

“Mungkin apa yang dilakukan penyanyi itu juga menjadi satu strategi untuk mendapatkan cerita kerana selepas luahan itu, banyak laporan mengenainya diterbitkan. Itu sekadar pandangan saya,” jelasnya.

Dalam masa sama, Hazamin turut menasihatkan setiap pelapis baharu perlu menjaga hubungan baik antara media yang disifatkan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dalam memberikan liputan terhadap perkembangan industri muzik.

“Kami berharap media tidak berkecil hati kerana media juga mengenali ramai artis nasyid lain seperti Inteam, Rabbani dan Hijjaz yang memang mesra media.

“Saya rasa artis-artis baharu perlu mengenali dan membina hubungan baik dengan media. Jangan anggap media sebagai orang asing. Kita semua kawan dalam industri.

“Abang Azadan (Rabbani) sendiri banyak berpesan kepada kami tentang perkara ini. Dia memang mempunyai hubungan baik dengan media dan selalu mengingatkan kami supaya berkawan dengan media.

“Saya rasa itu antara perkara yang boleh dipelajari artis baharu daripada artis lama seperti Hijjaz dan Rabbani,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Inteam Record bakal menganjurkan Konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah yang bakal berlangsung di IB pada 16 dan 17 Oktober ini.

Konsert tersebut bukan sekadar sebuah persembahan nostalgia, sebaliknya menjadi penghargaan terhadap perjalanan, karya, persahabatan, perjuangan serta legasi Hijjaz yang mewarnai perkembangan industri nasyid tanah air selama tiga dekad.

Scroll to Top