alagesh@nst.com.my
Kuantan: “Saya nampak mereka berjalan bersama malam tadi, terkejut bila dapat tahu gadis itu sudah meninggal dunia,” kata seorang wanita yang juga jiran penuntut politeknik yang ditemukan maut dipercayai dicekik teman lelaki di sebuah rumah di Jalan Air Putih, di sini, hari ini.
Wanita berusia 40-an yang enggan dikenali berkata, penuntut berusia berusia 19 tahun itu dilihat berjalan bersama suspek di sekitar Jalan Air Putih, di sini, beberapa jam sebelum ditemukan meninggal dunia.
Katanya, pasangan itu dilihat berjalan di sepanjang jalan utama kira-kira jam 9 malam.
“Saya melihat mereka malam tadi dan sangat terkejut apabila diberitahu mengenai kematian gadis itu kira-kira jam 6 pagi tadi.
“Saya mengenalinya sebagai seorang yang baik dan sopan.
“Mangsa dan tiga lagi rakannya yang belajar di politeknik di sini, menyewa dua bilik di sebuah rumah tiga tingkat berhampiran kediaman saya.
“Saya biasanya melihat mereka berjalan bersama atau menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk ke kelas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Menurut wanita itu, keempat-empat penuntut terbabit menginap di rumah itu kira-kira enam bulan lalu dan sering berjalan di sekitar kawasan kejiranan secara berpasangan.
“Biasanya mereka berjalan ke kedai makan atau pasar raya berhampiran. Saya sendiri tidak tahu bagaimana kejadian itu berlaku atau mengapa suspek berada di dalam rumah berkenaan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang penuntut wanita ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di Jalan Air Putih, dipercayai dicekik selepas berlaku pertengkaran dengan teman lelakinya.
Suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan, manakala polis masih belum mendedahkan identiti mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




