MPOB lancar GeoSAWIT, petakan tanaman sawit seluruh negara

MPOB lancar GeoSAWIT, petakan tanaman sawit seluruh negara

KUALA LUMPUR: Tanaman sawit seluruh negara kini dapat dipetakan dan disahkan lokasinya menerusi portal GeoSAWIT yang dilancarkan malam ini oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, portal GeoSAWIT itu meliputi ladang estet, sempadan tanaman sawit di seluruh negara serta kawasan pekebun kecil bagi memperkukuh pendigitalan industri sawit.

Menurutnya, platform berkenaan membolehkan MPOB memperoleh data lebih tepat mengenai landskap tanaman sawit negara untuk pemantauan penggunaan tanah dan penilaian risiko.

“Data tersebut turut menyokong keperluan pematuhan pasaran antarabangsa yang semakin ketat dan menekankan ketelusan, kebolehjejakan serta kemampanan industri sawit.

“Sistem kebolehjejakan seperti Sawit Intelligent Management System (SIMS) dan GeoSAWIT bukan sekadar memenuhi keperluan pematuhan, malah menjadi sebahagian strategi penjenamaan minyak sawit Malaysia.

“Minyak sawit Malaysia perlu dikenali bukan sahaja kerana kualiti tinggi, tetapi juga pengurusan industri yang bertanggungjawab dan telus, katanya sewaktu berucap pada majlis Anugerah Industri Sawit Malaysia (AISM) 2025/2026 di Hotel Royal Chulan, hari ini.

Beliau berkata, penggunaan teknologi digital itu turut membantu industri khususnya pekebun kecil memenuhi tuntutan pasaran antarabangsa terhadap ketelusan, kebolehjejakan dan kemampanan industri sawit.

“Kecemerlangan industri sawit kini tidak lagi boleh diukur berdasarkan produktiviti atau jumlah pengeluaran semata-mata, sebaliknya teknologi semasa turut perlu diperkasa,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, ketepatan dan kebolehpercayaan data adalah penting dalam memperkukuh sistem pemantauan serta kebolehjejakan industri sawit.

Katanya, melalui pelancaran portal itu, data akan menjadi lebih tepat dan membawa kepada keputusan lebih baik, sekali gus memperkukuh ketelusan dan tadbir urus industri berasaskan data.

“Pendekatan digital seperti GeoSAWIT menyokong usaha memastikan minyak sawit Malaysia terus diyakini serta berdaya saing di pasaran global utama.

“GeoSAWIT turut melengkapi SIMS sebagai sebahagian pendekatan digital MPOB untuk memperkukuh sistem kebolehjejakan keseluruhan rantaian bekalan sawit negara secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top