'Tak tergamak ambil bayaran, ini amal jariah bantu masjid'

'Tak tergamak ambil bayaran, ini amal jariah bantu masjid'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Tumpat: “Saya tak tergamak nak ambil bayaran kerana kosnya agak mahal malah boleh mencecah RM6,000 jika ikut keluasan kawasan terbabit.

“Jadi saya anggap apa dilakukan itu sebagai amal jariah dengan niat membantu pihak masjid.”

Itu kata Mohd Hanif Mohammad Noor, 36, ketika berkongsi kisahnya menjalankan khidmat sertu percuma di sebuah masjid dekat sini yang terkena cecair kumbahan disyaki najis babi.

Berkongsi kisah itu, Mohd Hanif yang menetap di Rantau Panjang, Kelantan berkata, dia dihubungi pihak pengurusan masjid untuk membersihkan najis berkenaan pagi semalam.

“Sebaik tiba di masjid, saya dapati bau najis pada permaidani itu seperti najis babi kerana pernah terbau yang sama.

“Cuma tak pasti kebenarannya dan disebabkan was-was, saya maklumkan kepada pihak pengurusan masjid.

“Kemudian, saya minta izin untuk sertu sebelum bersihkannya bermula semalam dan disambung ke hari ini,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Mohd Hanif, dia tidak berseorangan namun dibantu dua pekerja yang ada dalam pasukannya.

Katanya, kerja menyertu masih dijalankan dan dijangka selesai hari ini sebelum diteruskan dengan pembersihan esok.

“Sebelum ini, saya pernah menyertu dan membersihkan kawasan masjid yang diceroboh masuk anjing serta babi.

“Tak rumit kerana tahu laluan haiwan berkenaan tapi kali ini najis basah jadi ia merebak hingga banyak tempat perlu diperiksa.

“Kena cuci kawasan terbabit kemudian sertu hari ini dan esok akan bersihkan lagi. Jangkaannya siap esok dan boleh digunakan semula sebelum Jumaat,” katanya.

Bapa tiga anak itu berkata, dia bersyukur kerana dapat membantu pihak masjid mengikut kemampuannya.

“Jujurnya sedih bila jadi kes sebegini namun saya difahamkan pihak masjid sudah membuat laporan polis.

“Jadi biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut cuma berharap kejadian sama tidak berulang,” katanya yang menawarkan khidmat pembersihan sejak lapan tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top