Lelaki dilaporkan hilang di Kampung Lubuk Pedati ditemukan selamat

Lelaki dilaporkan hilang di Kampung Lubuk Pedati ditemukan selamat

am@hmetro.com.my

Baling: Lelaki yang dilaporkan hilang di Kampung Lubuk Pedati, di sini, malam tadi, ditemukan selamat di kaki Gunung Baling jam 1.15 pagi tadi.

Mangsa, 31, ditemukan penduduk kampung kira-kira 100 meter dari lokasi dilaporkan hilang selepas operasi mencari dan menyelamat membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling, malim gunung serta orang awam dilancarkan.

Ketua BBP Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung khidmat khas orang hilang pada jam 9.37 malam.

Beliau yang mengetuai operasi bersama lapan anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.

“Operasi pencarian pada mulanya ditangguhkan pada jam 10.55 malam atas arahan polis disebabkan faktor keselamatan termasuk keadaan gelap dan licin.

“Berdasarkan maklumat awam, lelaki itu berada di Lubuk Pedati menuju ke kaki gunung dengan menggunakan laluan jambatan gantung di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkhairi berkata, operasi itu disertai 10 anggota polis, lapan anggota bomba, enam anggota APM serta 20 orang awam dan malim gunung.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top