Russell mula petak belakang GP Singapura

Russell mula petak belakang GP Singapura

Singapura: George Russell dijangka terpaksa memulakan perlumbaan dari petak belakang di Singapura minggu ini, sekali gus menjadi satu lagi tamparan besar terhadap harapan pemandu Mercedes itu yang semakin pudar untuk memburu kejuaraan dunia Formula Satu (F1).

Pasukan berkenaan mengesahkan semalam bahawa Russell sudah kehabisan empat unit enjin yang diperuntukkan untuk musim ini dan perlu menggunakan enjin baharu bagi perlumbaan hujung minggu format pecut, dengan hukuman penalti bermula dari barisan belakang akan dikenakan pada perlumbaah hari Ahad.

Russell terpaksa menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Bahrain di Malaysia minggu lalu, hanya lima pusingan sebelum tamat akibat masalah unit kuasa ketika dia berada di tempat ketiga.

Pelumba Britain itu kekal di tangga kedua keseluruhan, namun kini ketinggalan 84 mata di belakang rakan sepasukannya yang juga pendahulu kejuaraan, Kimi Antonelli.

Perlumbaan Sabtu ini adalah aksi pecut terakhir musim ini – dengan penalti enjin tidak terpakai bagi perlumbaan sejauh 100 kilometer (km) itu – dan terdapat enam pusingan lagi selepas Singapura, bermakna Antonelli, 20, berada di landasan untuk muncul juara dunia termuda dalam sejarah F1, dengan beberapa perlumbaan masih berbaki.

Russell dan Mercedes sememangnya mengetahui dia memerlukan enjin baharu serta bakal menerima penalti, namun mereka berharap untuk menggunakannya pada GP Amerika Syarikat (AS) di Austin – perlumbaan selepas Singapura – ketika pasukan itu turut merancang memperkenalkan naik taraf enjin yang kini mungkin dipercepatkan.

Litar di Texas itu, tidak seperti Singapura yang sempit dan perlahan, secara amnya menawarkan banyak peluang untuk memotong.

Antonelli sebelum ini menerima penalti enjin di Monza, perlumbaan di laman sendiri, namun berjaya memenanginya selepas bermula dari kedudukan ke-19.

Russell memenangi perlumbaan di Singapura tahun lalu, yang terkenal sebagai antara perlumbaan paling mencabar dalam kalendar dengan cuaca panas dan kelembapan tinggi, selepas bermula dari petak utama.

Kedudukan permulaan paling rendah bagi pemenang di Litar Marina Bay ialah tempat ke-15, yang dicatat pelumba Sepanyol, Fernando Alonso, dalam perlumbaan kontroversi pada 2008 apabila rakan sepasukannya dari Brazil, Nelson Piquet, sengaja merempuh jentera Renault atas arahan pasukan.

Daripada 16 perlumbaan yang sudah berlangsung di litar itu setakat ini, 11 dimenangi dari petak utama.

Timbalan prinsipal Mercedes, Bradley Lord, berkata siasatan terhadap kegagalan enjin Russell di Sepang masih dijalankan, namun jelas ia berpunca daripada masalah mekanikal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top