Syarikat baharu labur RM5 bilion ambil alih CJ Bio, 383 pekerja kekal

Syarikat baharu labur RM5 bilion ambil alih CJ Bio, 383 pekerja kekal

bisnes@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Sebuah syarikat bersetuju untuk melabur sehingga RM5 bilion bagi mengambil alih kilang CJ Bio Malaysia yang akan menamatkan operasi secara berperingkat bermula Khamis depan.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan (MIDA) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sudah mengadakan perundingan dengan syarikat baharu itu, yang pernah bersaing dengan CJ Bio Malaysia untuk menghasilkan produk rumusan makanan haiwan ternakan pada 2012.

Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kemaman, Datuk Azan Ismail berkata, syarikat baharu yang akan mengambil alih CJ Bio Malaysia yang berpengkalan di Korea Selatan itu juga bersetuju mengekalkan kira-kira 383 pekerja yang terjejas berikutan penutupan kilang secara berperingkat kelak.

Katanya, agensi kerajaan pusat yang terbabit dengan pelaburan dan kerajaan negeri sudah melakukan usaha untuk menyelamatkan kilang itu supaya tidak ditutup dengan pengambilalihan syarikat baharu.

“Setakat ini, perundingan dengan syarikat yang turut menghasilkan produk rumusan makanan haiwan ternakan seperti dikeluarkan CJ Bio berjalan lancar dan menggalakkan.

“Kerajaan negeri diminta memberi kerjasama penuh termasuk mempercepatkan kelulusan bagi memastikan fasa untuk menyelamatkan pekerja daripada kehilangan pekerjaan dapat dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pada program Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita peringkat negeri anjuran Jabatan Pembangunan Wanita negeri, di sini.

Operasi kilang CJ Bio yang terletak di kawasan Taman Biopolimer di Kertih, Kemaman, dibina pada 2012 dan memulakan operasi pada 2014 dengan nilai pelaburan berjumlah RM2.23 bilion terpaksa ditamatkan selepas 12 tahun berikutan keputusan pengurusan di Korea Selatan dan tekanan persaingan produk, termasuk baja dan makanan ternakan daripada China.

Sepanjang beroperasi di Terengganu, CJ Bio mendapat pelbagai kemudahan termasuk pengecualian cukai.

Azan yang dilantik kerajaan pusat bagi menangani isu pengangguran dalam kalangan pekerja dan penutupan kilang bagaimanapun enggan mendedahkan nama syarikat yang bersetuju membuat pelaburan bagi mengambilalih kilang berkenaan.

Katanya, syarikat yang bersetuju untuk membuat pelaburan dan mengambil alih kilang CJ Bio akan mengeluarkan produk yang sama, tetapi pasaran produk dikeluarkan lebih meluas.

Mengulas kaedah dilakukan bagi menyelesaikan masalah ekonomi pekerja, Azan berkata, bekas pekerja kilang itu akan ditawarkan penempatan di beberapa agensi di pelabuhan Kemaman dan Kuantan.

Bagaimanapun, katanya, bekas pekerja terbabit akan ditawarkan di penempatan baharu bersesuaian dalam bidang kemahiran masing-masing.

“Hasil perundingan bersama dengan Kementerian Sumber Manusia, kerajaan bersetuju untuk mengusahakan penempatan sementara bekas pekerja di beberapa agensi termasuk syarikat perindustrian di pelabuhan Kemaman dan Kuantan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top