Kes keganasan terhadap wanita oleh individu dikenali membimbangkan – Azalina

Kes keganasan terhadap wanita oleh individu dikenali membimbangkan – Azalina

KUALA LUMPUR – Peningkatan kes keganasan termasuk pembunuhan membabitkan golongan muda terutama wanita yang menjadi mangsa oleh individu dikenali semakin membimbangkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, situasi itu perlu dilihat dengan lebih serius susulan pelbagai kejadian membabitkan kumpulan itu dilaporkan ketika ini.

Menurutnya, pelbagai aspek perlu diteliti termasuk kemungkinan wujud unsur keganasan berasaskan jantina, selain sikap rasa berhak yang mendorong seseorang bertindak ganas apabila kehendaknya ditolak.

“Sejak kebelakangan ini banyak kematian atau pembunuhan di sekolah, pelajar universiti dan saya tengok secara rambangnya banyak wanita. Kemudian yang melakukan ini ialah orang mereka kenal. Mungkin kawan sedarjah atau pun kawan fakulti.

“Seolah-olah ada keganasan berasaskan jantina dan saya tidak tahu sama ada respons kerana penolakan, cemburu dan sebagainya tapi yang saya khuatir ialah di mana wanita menjadi mangsa kepada situasi keganasan.

“Jadi, saya melihat perkara ini perlu dilihat secara mendalam,” katanya ketika sidang akhbar di Parlimen di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang turut menggesa supaya individu yang menjadi mangsa keganasan untuk segera melaporkan kepada pihak berkuasa.

Ujarnya, tindakan segera itu penting bukan sahaja bagi mendapatkan keadilan tetapi melindungi nyawa daripada menjadi mangsa korban seterusnya.

“Disebabkan itu, apabila berlaku sebarang keganasan atau buli, buat laporan terus kerana kita tidak boleh bergantung kepada guru untuk memantau setiap perlakuan pelajar kerana beban tugas pendidik yang sudah banyak,” katanya.

Sementara itu, beliau juga mahu supaya kewujudan Tribunal Antibuli perlu diperkasa bagi memberi kesedaran kepada pelajar untuk menyalurkan segera aduan.

Ujarnya, kesedaran itu penting sebagai saluran intervensi menangani kes gangguan, buli atau keganasan terhadap mangsa terlibat.

“Pelajar perlu tahu mereka mempunyai saluran mendapatkan bantuan jika laporan mengenai kejadian buli atau gangguan tidak mendapat tindakan sewajarnya daripada pihak sekolah,” katanya.

 

 

Scroll to Top