am@hmetro.com.my
Kangar: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis bakal memasang kamera litar tertutup (CCTV) di asrama sekolah di negeri ini bagi mempertingkatkan tahap pengawasan dan keselamatan pelajar.
Pengarahnya Ishak Awang berkata, inisiatif pemantauan itu dilaksanakan susulan penerimaan peruntukan khusus yang disalurkan Kementerian Pendidikan (KPM), baru-baru ini.
Katanya, skop pemasangan peranti keselamatan itu akan memfokuskan kepada bangunan asrama terlebih dahulu, berbanding blok sekolah lain tertakluk kepada peruntukan sedia ada.
“Kita mendapat peruntukan daripada kementerian untuk pasang CCTV khusus bagi sekolah yang ada asrama bagi tujuan pemantauan dan keselamatan pelajar asrama itu sendiri.
“Perancangan perluasan ke bangunan sekolah bergantung kepada peruntukan KPM kelak,” katanya ketika ditemui di pada Program Prints and Pixels Expo (PriPEX) 2026 dan Kempen Internet Selamat Sempena Anugerah Duta Tahun 2026 Peringkat Negeri Perlis di sini, hari ini.
Mengenai kempen, Ishak berkata, inisiatif dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu bertujuan mendedahkan pelajar mengenai garis panduan serta penggunaan internet yang selamat bagi mengelakkan sebarang salah laku siber.
© New Straits Times Press (M) Bhd




