Beli hak cipta P Ramlee pelaburan pelihara warisan negara – Zed Zaidi

Beli hak cipta P Ramlee pelaburan pelihara warisan negara – Zed Zaidi

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) menyambut baik dan memberikan sokongan penuh kepada usaha kerajaan untuk membangkitkan serta mempertimbangkan langkah bagi membeli semula hak cipta karya agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Presidennya, Zed Zaidi menegaskan bahawa P Ramlee bukan sekadar seorang seniman, sebaliknya adalah sebahagian daripada identiti serta warisan seni negara yang karya-karyanya mesti terus dilindungi dan dihargai generasi masa depan.

“SENIMAN menyokong usaha kerajaan ini. Bagi saya pembelian semula hak cipta P Ramlee bukan sekadar soal pemilikan tetapi merupakan pelaburan untuk memelihara warisan budaya negara.

“Namun, selepas hak itu diperoleh, mesti ada pengurusan yang jelas dan teratur supaya karya tersebut dapat dimanfaatkan dengan baik,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas mengenai kemelut yang sering melanda karya legenda seni tanah air, Zed berkata cabaran utama terletak pada pengurusan hak cipta yang kompleks.

“Cabaran hak cipta dan isu royalti cabaran utama ialah pengurusan hak yang kompleks termasuk mengenal pasti pemilik atau waris yang berhak serta memastikan penggunaan karya di platform digital dapat dipantau.

“Pembelian semula hak cipta adalah langkah penting tetapi perlu disusuli dengan sistem kutipan royalti dan pelesenan yang telus supaya tidak berlaku eksploitasi,” katanya lagi.

Selain pemilikan hak cipta, SENIMAN turut mencadangkan agar Kementerian Komunikasi melalui agensi berkaitan seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) mengambil inisiatif proaktif.

Menurut Zed, agensi-agensi ini disaran agar tidak hanya menyimpan karya klasik berkenaan, tetapi giat melakukan usaha pendigitalan, pemulihan serta membawanya lebih dekat kepada golongan muda menerusi platform media sosial dan penstriman seperti YouTube dan TikTok.

“Kita boleh jadikan karya P Ramlee sebagai contoh bagaimana warisan seni negara dilindungi dan dikomersialkan secara terkawal untuk dijadikan rujukan, sekali gus terus memberi manfaat kepada industri serta pihak yang sah mempunyai hak.

“P Ramlee bukan sekadar nostalgia beliau adalah seniman agung warisan negara. Hak karyanya perlu dilindungi supaya karya itu terus hidup dan dihargai oleh generasi akan datang,” ujarnya.

Terdahulu, menurut laporan Bernama berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di portal rasmi Parlimen beberapa topik menjadi tumpuan utama di sidang Dewan Rakyat hari ini antaranya isu pemeliharaan khazanah seni dibangkitkan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) yang meminta Menteri Komunikasi mengemas kini inisiatif kerajaan bagi memperoleh atau membeli semula hak pemilikan, hak cipta serta pengurusan filem-filem Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee agar dapat dipelihara sebagai aset warisan negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top