KWPPL hentikan sementara pembayaran elaun berikutan isu perbezaan tafsiran undang-undang

KWPPL hentikan sementara pembayaran elaun berikutan isu perbezaan tafsiran undang-undang

nurul_husna@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Pusat Perdagangan Laut (KWPPL) mengambil langkah berhati-hati dengan menghentikan sementara pembayaran elaun kepada Pengerusi, Ahli Jawatankuasa, Setiausaha, dan Wakil Pengurusan berikutan timbulnya isu perbezaan tafsiran undang-undang.

​KWPPL dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan, isu berkenaan dibangkitkan berhubung punca kuasa perundangan serta tatacara kewangan yang terpakai terhadap pembayaran terbabit.

​Menurut kenyataan itu, pembayaran elaun berkenaan menggunakan dana KWPPL dan bukannya Peruntukan Mengurus Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Laut Malaysia (JLM) .

​”KWPPL ditubuhkan di bawah kerangka Merchant Shipping Ordinance 1952 (MSO 1952) dan ditadbir berdasarkan Merchant Shipping (Central Mercantile Marine Fund) Rules 1984 (CMMF Rules 1984) sejak 1953.

​”Pemberhentian sementara ini adalah langkah pentadbiran dan tidak dengan sendirinya ialah pengakuan bahawa keseluruhan pembayaran terdahulu dibuat tanpa punca kuasa,” katanya.

​ KWPPL menjelaskan, pendirian pihak mereka mengambil kira pelbagai aspek perundangan termasuk MSO 1952, CMMF Rules 1984, kedudukan Menteri Pengangkutan dalam struktur tadbir urus, rekod kelulusan terdahulu serta pandangan perundangan Kementerian Pengangkutan.

​ Katanya, perkara berkenaan kini sedang diperhalusi menerusi saluran rasmi Kerajaan bagi memastikan mekanisme kelulusan, kadar dan syarat pembayaran selepas ini mempunyai ketetapan lebih jelas serta teratur.

​ “Permohonan menerusi Kementerian Pengangkutan kepada Kementerian Kewangan juga telah dipanjangkan bagi mendapatkan kelulusan dan hala tuju seterusnya.

​”KWPPL menghormati peranan Ketua Audit Negara dan akan terus memberikan kerjasama penuh dalam penyelesaian perkara ini bagi memastikan fungsi KWPPL terus dilaksanakan secara berkesan serta bertanggungjawab,” katanya.

Terdahulu, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 melaporkan sejumlah RM2.55 juta dibelanjakan bagi pembayaran elaun dan kemudahan sepanjang tahun 2025 kepada Lembaga Kumpulan Wang Dius Api (KWDA) dan Jawatankuasa Kumpulan Wang Pusat Perdagangan Laut (KWPPL) tanpa punca kuasa perundangan yang sah.

Ketua Audit Negara menyarankan Jabatan Laut Malaysia menghentikan serta-merta pembayaran elaun itu sehingga tafsiran perundangan dan tatacara kewangan dimuktamadkan secara sah di bawah akta berkaitan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top