MyEG Services Bhd (MyEG) perlu menyelesaikan sepenuhnya bayaran tertunggak berjumlah RM314 juta sebelum sebarang permohonan untuk menyambung semula operasi sebagai ejen kutipan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh dipertimbangkan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan kementeriannya kekal dengan pendirian bahawa bayaran berkenaan perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum pertimbangan untuk membenarkan operasi disambung diberikan.
“Kita tetap dengan apa yang kita telah nyatakan. Kita menunggu bayaran tersebut. Sebelum sebarang permohonan untuk menyambung semula operasi boleh dipertimbangkan, bayaran perlu diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Notifikasi Bayaran Kadar Khas bagi Rumah Ibadat dan Sekolah Bantuan Modal di Menara Railway Assets Corporation (RAC), hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri M. Jana Santhiran.
Sebelum ini, perkhidmatan MyEG dan Zetrix AI Bhd di bawah Kumpulan MYEG sebagai ejen kutipan JPJ digantung selepas gagal menyerahkan hasil kutipan RM314 juta kepada kerajaan bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September.

Loke sebelum ini memaklumkan tindakan penggantungan terpaksa diambil selepas tunggakan berkenaan masih gagal diselesaikan meskipun sebanyak 35 peringatan telah diberikan dan sesi libat urus bersama pihak terbabit diadakan sejak Mei.
MYEG juga dilaporkan telah menyerahkan cek berjumlah RM231 juta bertarikh 30 September, namun bayaran berkenaan tidak dapat diproses oleh pihak bank.
Susulan itu, perkhidmatan pembayaran menerusi MYEG dan Zetrix AI digantung bermula 5 Oktober, manakala kerajaan menegaskan penggantungan akan kekal sehingga tunggakan berkenaan diselesaikan.
MyEG telah berperanan sebagai ejen kutipan JPJ sejak 2000, termasuk bagi urusan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), pertukaran hak milik kenderaan, perkhidmatan Lesen Memandu Malaysia (LMM) serta pembayaran saman secara elektronik.
Sumber: BERNAMA




