Malaysia perlu kembali jadi pusat rujukan dalam bidang diplomasi

Malaysia perlu kembali jadi pusat rujukan dalam bidang diplomasi

PUTRAJAYA: Malaysia perlu segera memperkukuh keupayaan diplomatnya bagi mengembalikan semula negara sebagai pusat rujukan dalam bidang diplomasi, khususnya di peringkat ASEAN dan antarabangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia sebelum ini menjadi rujukan diplomat ASEAN dalam beberapa aspek termasuk perjanjian dan dokumentasi antarabangsa.

“Kita perlukan diplomat yang cemerlang. Malaysia dulu terkenal menjadi sebagai pusat rujukan. Jadi kita perlu kembali semula kepada keadaan itu. Kalau dulu, kalau perjanjian antarabangsa, dokumentasi antarabangsa, semua diplomat dari ASEAN terutamanya, mereka merujuk kepada diplomat Malaysia. Sekarang ini kita tertinggal.

“Maka ini yang perlu dilakukan, menambah pengetahuan itu perlu disegerakan kerana kita tidak boleh duduk dalam zon selesa kita kerana negara-negara jiran telah dapat melahirkan diplomat-diplomat yang lebih cemerlang yang satu ketika dulu mereka tidak menonjol sangat kalau dibandingkan dengan diplomat daripada negara kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Graduasi Program Diploma in Diplomacy (DiD) 2026 di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 20 Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) daripada Kementerian Luar dan Jabatan Perdana Menteri menerima diploma pada majlis berkenaan, selepas mengikuti program selama enam bulan sebagai persediaan sebelum penempatan pertama di luar negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, diplomat juga perlu terus meningkatkan ilmu dan kemahiran kerana proses pembelajaran mereka tidak terhenti selepas menerima DiD.

Jelasnya, kecekapan dan penampilan diplomat mencerminkan imej negara, justeru kepentingan Malaysia perlu sentiasa didahulukan dalam setiap rundingan dan perbahasan antarabangsa.

“Kecekapan dan penampilan diplomat melambangkan negara. Diplomat membawa bendera negara. Jangan sekali-kali bendera Malaysia ini jatuh ke bawah.

“Malaysia mempunyai teras diplomasi yang terkenal sejak daripada dulu. Jadi jangan abaikan itu. Dalam apa jua perkara, dalam apa jua perundingan, dalam apa jua perbahasan, kepentingan negara mesti didahulukan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad turut mengingatkan diplomat supaya menjaga integriti serta tidak terpengaruh dengan populariti sehingga sanggup memburukkan negara sendiri.

“Walaupun kita seorang yang kompeten, walaupun kita seorang yang pandai, cerdik, tetapi integriti tak ada, itu pengakhirannya. Jaga integriti.

“Bila kita mewakili negara, jangan mengkhianati negara sendiri. Ada kadang-kadang nak jadi juara, nak suka, nak dapat populariti, cakap kadang-kadang pun tak betul. Caranya, walau apa jua keadaan, kita mesti pertahankan negara kita. Baik atau tak baik, pertahankan,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top