Seorang jururawat yang cedera parah selepas ditikam sebanyak enam kali oleh suaminya pada Isnin lalu didakwa pernah menerima ugutan bunuh sekiranya meneruskan hasrat untuk bercerai.
Foto: Berita Harian
Memetik laporan Sinar Harian, anak sulung mangsa yang mahu dikenali sebagai Nik, 19, mendakwa ibunya yang berusia 44 tahun pernah membuat laporan polis berhubung ugutan berkenaan membabitkan bapa tirinya yang berusia 52 tahun.
Menurutnya, pasangan yang mendirikan rumah tangga kira-kira enam tahun lalu itu kini dalam proses perceraian dan tidak berhubung sejak kira-kira tiga minggu sebelum kejadian.
“Ibu saya nak bercerai, tetapi dia (suami) tidak mahu. Dia mahu ibu saya kembali kepadanya.
“Ibu pernah diugut akan dibunuh kalau meninggalkan dia. Sebab itu ibu buat laporan polis sebelum ini, kes ugut,” katanya ketika ditemui pada Rabu.
Dalam kejadian di Kampung Padang Lepai, Kadok pada Isnin, mangsa dipercayai ditikam sebanyak enam kali sehingga mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan termasuk leher, dada dan perut.
Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Mengimbas detik kejadian, Nik berkata, dia baru sahaja pulang ke rumah selepas bertemu ibu dan neneknya yang berusia 78 tahun kira-kira jam 8.30 malam sebelum menerima panggilan memaklumkan mengenai serangan tersebut.
“Saya sampai di rumah, kemudian nenek telefon dan beritahu, ibu kena tikam.
“Saya terus kembali ke rumah ibu yang jaraknya kira-kira 200 meter sahaja,” jelasnya.
Foto: Berita Harian
Setibanya di lokasi, Nik mendapati ibunya berada di tepi pintu dalam keadaan berlumuran darah dan pening sebelum dia segera menghubungi talian kecemasan.
Dalam keadaan itu, dia turut mendapatkan dua adiknya yang masing-masing berusia enam dan 12 tahun bagi memastikan mereka berada dalam keadaan selamat.
Menurut Nik, adik lelakinya yang berusia 12 tahun masih trauma selepas menyaksikan kejadian berkenaan dan sempat bertindak ketika serangan berlaku.
“Adik saya sempat menolak bapa tiri menyebabkan pisau terjatuh dan patah. Selepas itu dia terus melarikan diri.
“Ibu mengalami enam tikaman termasuk di bahagian leher, dada dan tiga di perut.
“Walaupun ditikam enam kali, ibu masih kuat. Dia sempat pesan supaya saya ambil kad pengenalan dan kelengkapan lain sementara menunggu ketibaan ambulans,” kongsinya.
Nik turut mendakwa bapa tirinya tidak bekerja dan pernah mempunyai dua kes berkaitan dadah sebelum ini.
Susulan kejadian itu, seorang lelaki direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Mangsa yang bekerja sebagai jururawat di sebuah klinik masih menerima rawatan di HRPZ II akibat kecederaan dialaminya.
Sumber: Sinar Harian (Hazelen Liana Kamarudin)




