V3D Asia Ltd. menubuhkan Nuvah Sdn Bhd sebagai cabang komersialnya di Malaysia bagi menerajui pembangunan industri pencetakan pembinaan tiga dimensi (3DCP) tempatan.
Syarikat teknologi yang berasal dari Jepun itu menyasarkan pembangunan ekosistem 3DCP secara menyeluruh, merangkumi teknologi, kepakaran kejuruteraan, sains bahan dan pembangunan tenaga kerja mahir tempatan.
Nuvah sedang bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam usaha mendapatkan pengiktirafan pencetakan pembinaan 3D sebagai sistem ketujuh dibawah kerangka Sistem Binaan Berindustri (IBS) Malaysia.
Pengerusi Kumpulan V3D Asia, Kazuhiro Ono berkata, pendekatan syarikat berteraskan falsafah ‘Direka di Jepun, Dibina di Malaysia’ bagi memastikan teknologi berkenaan dapat dibangunkan dan diaplikasikan mengikut keperluan industri tempatan.
Menurutnya, Malaysia berpotensi menjadi pembekal utama teknologi pencetakan pembinaan 3D di rantau ini dalam tempoh 10 tahun sekiranya pembangunan ekosistem industri itu dilaksanakan secara menyeluruh.
“Peluang Malaysia untuk membangunkan industri pencetakan pembinaan 3D tidak bergantung pada mesin semata-mata memandangkan mana-mana negara mampu mendapatkan mesin pencetak.
” Apa yang jauh lebih mencabar untuk dibangunkan ialah tenaga kerja yang memahami teknologi, bahan dan kemahiran di sebaliknya.
“Matlamat kami bukan sekadar untuk menjual peralatan di Malaysia. Kami mahu membangunkan keseluruhan ekosistem industri ini di Malaysia iaitu daripada mesin pencetak kepada pembinaan kediaman dan yang paling penting, pembangunan tenaga kerja tempatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah Kazuhiro Ono, aspirasi tersebut turut meliputi pembangunan tenaga mahir yang akan memacu industri itu pada masa hadapan.
Jelasnya, baru-baru ini, V3D Asia telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Sunway University untuk menempatkan sebuah mesin pencetak pembinaan V3D di kampus.
“Ia bagi membolehkan pelajar kejuruteraan menjalani latihan praktikal menggunakan teknologi tersebut.
“Inisiatif yang sama turut dilaksanakan bersama Universiti Malaya kerana kemajuan industri perlu bermula melalui pendidikan dan latihan di bilik kuliah, bukannya di tapak pembinaan,” katanya.
Nuvah turut mengembangkan penggunaan 3DCP menerusi projek perintis bersama Kerajaan Brunei, selain merancang aplikasi teknologi itu dalam pembangunan kediaman, komersial dan infrastruktur.
Antara projek utama ialah Concave House di Eco Majestic, Gentlebre, yang bakal menjadi banglo mewah cetakan 3D pertama Malaysia dengan pembinaan dijadualkan bermula November 2026, sebelum disusuli pembangunan 12 vila di Bali, Indonesia.



