'Microsleep' punca pemandu kereta terbabas masuk sungai

'Microsleep' punca pemandu kereta terbabas masuk sungai

am@hmetro.com.my

Pontian: Seorang lelaki terselamat sejurus Perodua Alza dipandu terbabas masuk ke dalam sungai di Jambatan Parit Jawa, Kayu Ara Pasong, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.55 pagi itu, lelaki berusia 46 tahun berjaya menyelamatkan diri tanpa kecederaan serius.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, anggota Balai Polis Kayu Ara Pasong bergegas ke lokasi dan mendapati mangsa berjaya dikeluarkan daripada dalam kenderaan oleh orang awam serta nelayan berhampiran.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pontian untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai mengalami ‘microsleep’ atau tertidur seketika ketika memandu menyebabkan kenderaannya hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam sungai.

“Mangsa memaklumkan dia baru menjalani rawatan kemoterapi dan menghidap kanser paru-paru sejak kira-kira tiga bulan lalu.

“Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih belum dapat disahkan dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mendapatkan keterangan mangsa selepas keadaan kesihatannya mengizinkan,” katanya.

Katanya, Perodua Alza berkenaan masih berada di dalam sungai dan belum dikeluarkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top