am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Rapid KL memaklumkan Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kajang, di Stesen Bukit Bintang, sedang mengalami peningkatan jumlah penumpang dan menyebabkan kesesakan.
Bagaimanapun, ia tidak memberikan sebab situasi itu berlaku.
“Sehubungan itu, bagi memastikan keselamatan serta kelancaran pergerakan penumpang, kawalan kemasukan dan aliran penumpang sedang dilaksanakan di stesen-stesen terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, kesesakan berkenaan turut memberi kesan besar kepada pengguna di stesen lain, termasuk Stesen Bangsar yang menyaksikan ramai penumpang terkandas.
Seorang pengguna yang mahu dikenali sebagai AJ berkata, beliau terpaksa menunggu hampir satu jam di Stesen Bangsar dalam usahanya untuk pulang ke rumah di Meru, Klang.
Menurut AJ, pihak pengurusan di stesen berkenaan ada membuat pengumuman memaklumkan bahawa tren terpaksa dipandu secara manual, sekali gus memperlahankan pergerakan dan menyebabkan semakin ramai orang menunggu di platform.
“Keadaan masih sangat sesak di Stesen Bangsar dan saya sudah terlepas sebanyak 10 tren kerana tidak mampu mencelah masuk.
“Kekerapan tren kelihatan seolah-olah sudah pulih setiap dua minit, tetapi setiap tren yang sampai semuanya penuh dengan penumpang,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, AJ meluahkan rasa kesal dan kecewa kerana gangguan perkhidmatan sedemikian kerap berulang.
Beliau juga mendesak pihak pengurusan perkhidmatan rel berkenaan supaya mengambil langkah proaktif dan tidak bersikap sambil lewa dalam menangani masalah berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




