Kes rompakan di Genting Highlands: 7 suspek dipercayai ada kaitan dengan dalang utama

Kes rompakan di Genting Highlands: 7 suspek dipercayai ada kaitan dengan dalang utama

am@hmetro.com.my

Kuantan: Tujuh suspek yang ditahan berhubung kes rompakan barang kemas bernilai RM1.7 juta di SkyAvenue, Genting Highlands, bulan lalu, dipercayai mempunyai kaitan dengan dalang rompakan berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, suspek berkenaan, termasuk seorang wanita, dipercayai boleh memberikan maklumat kepada polis bagi membantu mengesan dalang utama rompakan itu.

“Polis menahan suspek-suspek terbabit antara 20 Ogos hingga semalam di Lembah Klang dan Pulau Pinang, termasuk seorang yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

“Suspek termasuk tiga warga asing. Mereka berusia antara 25 hingga 64 tahun,” katanya, hari ini.

Azry berkata, enam daripada suspek termasuk seorang wanita itu, dibebaskan dengan jaminan polis, manakala warga China yang ditahan di KLIA, semalam, direman sehingga 10 Oktober ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan dengan bersenjata.

Terdahulu pada hari ini, Azry memberitahu pemberita di Bentong bahawa seorang warga China berusia 40-an adalah suspek terbaharu yang ditahan selepas individu itu tiba di KLIA, semalam.

Dalam kejadian rompakan 17 Ogos itu, tiga lelaki bertopeng yang bersenjatakan kapak dan kuku kambing memecah masuk ke dalam kedai emas berkenaan sebelum melarikan diri dengan barang kemas bernilai kira-kira RM1.7 juta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top