Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru seluruh rakyat Pahang dan Malaysia agar bersama-sama berdoa memohon kepada Allah SWT supaya diturunkan hujan bagi membantu meredakan keadaan jerebu yang melanda ketika ini.
Dalam masa sama, Baginda menzahirkan harapan agar masyarakat serta syarikat perladangan di Kalimantan, Indonesia diberikan kesedaran dan dibukakan hati untuk menghentikan segala aktiviti pembakaran secara terbuka.
Aktiviti berkenaan boleh menyumbang kepada pencemaran udara, sekali gus memberi kesan terhadap kesihatan dan kesejahteraan masyarakat di rantau ini.

Baginda bertitah demikian menerusi kenyataan oleh Pengelola Bijaya Diraja KDPB Sultan Pahang, Mej Jen Datuk Mohamed Zahari Yahya TUDM (Bersara), hari ini.
“Usaha menangani jerebu memerlukan kerjasama semua pihak, selain ikhtiar berterusan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat sentiasa terpelihara.
“Sehubungan itu, Paduka Baginda menyeru rakyat agar terus berdoa kepada Allah SWT, di samping mengamalkan langkah-langkah sewajarnya bagi menghadapi keadaan jerebu yang berlaku,” titahnya.

Sultan Abdullah turut berharap keadaan cuaca kembali pulih dan hujan yang membawa rahmat dapat turun dalam masa terdekat.
Hujan diharapkan dapat membantu membersihkan udara serta mengurangkan kesan jerebu yang sedang dialami ketika ini.
Sumber: FB Kesultanan Pahang




