SHAH ALAM – Perundingan dengan kepimpinan junta Myanmar tidak wajar dianggap sebagai isyarat pengiktirafan dan persetujuan terhadap kekejaman yang berlaku di negara itu.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, sebaliknya dialog adalah sebahagian daripada kaedah diplomasi dan membuka pintu perbincangan.
Menurutnya, tidak dinafikan kritikan terhadap sebarang hubungan dengan kepimpinan Myanmar memang wajar didengar dan kekejaman terhadap rakyat negara itu tidak boleh diputihkan, namun perlu berlaku adil terhadap fakta.
“Soalan yang lebih penting apakah yang Malaysia tuntut di meja rundingan? Penghentian keganasan, pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara ASEAN, akses bantuan kemanusiaan serta dialog politik yang inklusif.
“Dalam konteks hubungan dua hala sekarang adalah untuk memastikan sebarang penghantaran pulang warga Myanmar dilakukan secara sukarela, bermaruah dan selamat.
“Diplomasi adalah keberanian untuk bercakap dengan pihak yang kita tidak setujui apabila keamanan, keselamatan rantau dan nyawa manusia menjadi pertaruhannya,” ujarnya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang membangkitkan risiko legitimasi susulan layanan “karpet merah” terhadap ketua junta Myanmar.
Tambah Muhammad Kamil, sejarah diplomasi Malaysia sendiri penuh dengan pendekatan sedemikian.
Beliai memberi contoh, pada tahun 1955, Tunku Abdul Rahman duduk semeja dengan Chin Peng dalam Rundingan Baling.
“Apakah itu bermakna Tunku mengiktiraf perjuangan bersenjata Parti Komunis Malaya? Tentunya tidak.
“Tunku berunding kerana sebagai pemimpin, beliau mempunyai tanggungjawab lebih besar untuk mencari jalan menghentikan keganasan dan menyelamatkan nyawa,” jelasnya.
Beliau berkata, selain itu, pada tahun 1974, ketika ancaman komunis masih nyata di negara dan sentimen antikomunis begitu kuat, Tun Abdul Razak mengambil keputusan yang pada ketika itu cukup berani dengan mengadakan lawatan ke Beijing, bertemu Mao Zedong dan Zhou Enlai
“Lalu ia membuka hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China. Adakah Tun Razak menjadi komunis kerana berjabat tangan dengan Mao?” soalnya.



