Sesi 'live' bongkar markas air ketum

Sesi 'live' bongkar markas air ketum

harisfadli@hmetro.com.my

​Subang Jaya: Polis mengesahkan penemuan peti mengandungi 21 botol berisi cecair disyaki air ketum di Kampung Seri Langkas, Puchong Permai, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu pada 8.45 malam daripada orang awam yang membuat ‘live’ (penstriman langsung) di lokasi kejadian.

“Pada 9 malam, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dan anggota Balai Polis Bukit Puchong (ke lokasi bagi) menjalankan pemeriksaan.

​ “Pemeriksaan di sebuah rumah tidak bernombor menemukan bekas plastik bertutup mengandungi 21 botol plastik berisi cecair disyaki ketum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kesemua cecair yang dianggarkan sebanyak 10,500 mililiter itu disita oleh polis bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terbabit dengan pemilikan bahan terlarang itu.

“Pihak polis menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras aktiviti pengedaran bahan terlarang serta menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat bagi membantu usaha membanteras jenayah,” katanya.

Terdahulu, beberapa klip video tular memaparkan sekumpulan individu menemukan cecair disyaki ketum itu ketika membuat penstriman langsung di media sosial, berhubung penempatan pelarian Rohingya di kawasan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top