Amukan lelaki berpedang, dua cedera dilibas

Amukan lelaki berpedang, dua cedera dilibas

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Dua lelaki cedera dilibas pedang dalam pergaduhan di stor getah di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah, di sini, semalam.

Kejadian jam 8.30 malam itu dipercayai berpunca perselisihan faham berkaitan pembuangan kepingan mozek pecah dan kerosakan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan stor berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika beberapa individu sedang berbincang bagi menyelesaikan perselisihan terbabit.

Katanya, ketika perbincangan, seorang lelaki berusia 27 tahun dipercayai cuba mengeluarkan sebilah pedang diselitkan di belakang badannya.

“Salah seorang mangsa cuba menghalang tindakan itu sebelum berlaku pergelutan. Suspek bagaimanapun bertindak melibas pedang berkenaan.

“Akibatnya mangsa pertama berusia 33 tahun mengalami luka kira-kira 18 sentimeter pada bahagian pipi kiri, manakala mangsa kedua berusia 40 tahun mengalami luka kira-kira lima sentimeter pada lengan kanan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, salah seorang daripada mangsa yang cedera masih menerima rawatan di hospital.

Katanya, suspek cuba melarikan diri selepas kejadian, namun berjaya ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis.

“Polis turut merampas sebilah pedang bersarung kayu dan sebilah pisau bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata berbahaya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top