Jururawat parah ditikam suami mulai sedar, stabil

Jururawat parah ditikam suami mulai sedar, stabil

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Jururawat yang ditikam enam kali oleh suaminya di rumah mereka di Kampung Padang Lepai, Kadok di sini, Isnin lalu, kini dalam keadaan stabil.

Anak perempuan sulungnya, yang mahu dikenali sebagai Amirah, 19, berkata, ibunya mulai sedar semula petang semalam tetapi masih berada di bawah pemerhatian rapi di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

“Menurut doktor, keadaan ibu saya sudah mula stabil hari ini, tetapi dia masih memerlukan pemantauan rapi oleh pihak hospital.

“Adik-beradik saya dan ahli keluarga yang lain bergilir-gilir menjaganya di hospital,” kata pelajar yang juga anak sulung daripada tiga beradik.

Amirah berkata, ibunya juga sudah mula bercakap, walaupun masih lemah dan masih memerlukan pemantauan rapi.

Mangsa yang berusia 44 tahun dan bekerja sebagai jururawat di Klinik Kesihatan Chempaka itu cedera parah selepas ditikam suaminya dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam.

Mangsa dilaporkan mengalami enam kesan tikaman pada badan dan lehernya, termasuk kecederaan pada hati dan usus.

Suspek yang tidak bekerja itu menyerahkan diri di Balai Polis Nilam Puri kira-kira jam 9.15 malam pada hari yang sama.

Polis mendapatkan perintah reman selama tujuh hari terhadap suspek berusia 47 tahun itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top