am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Semua 575 Sekolah Agama Kerajaan Johor, tiga Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor serta 239 Institusi Pendidikan Islam Swasta (IPIS) berdaftar di negeri ini turut diarah tutup selama dua hari bermula esok.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, langkah penutupan itu selaras dengan kenyataan dikeluarkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berhubung penutupan sekolah di seluruh Johor akibat kemerosotan kualiti udara.
Beliau berkata, tindakan berkenaan diambil sebagai langkah berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan dan keselamatan semua warga sekolah agama serta institusi pendidikan Islam terbabit.
“Penutupan ini terpakai kepada semua sekolah agama kerajaan negeri serta IPIS yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
“Keutamaan kita adalah memastikan keselamatan serta kesihatan murid, guru dan seluruh warga sekolah tidak terjejas akibat jerebu,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Fared berkata, sebarang peperiksaan, pentaksiran atau program yang dijadualkan dalam tempoh itu akan ditangguhkan dan dijadualkan semula, tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa dan agensi berkaitan.
Beliau turut menasihati ibu bapa dan penjaga supaya memantau keadaan kesihatan anak-anak serta mengurangkan aktiviti di luar rumah.
“Dapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala seperti batuk, sakit tekak atau sesak nafas.
“Kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan keadaan jerebu dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan yang bersesuaian demi memastikan keselamatan dan kesihatan anak-anak Johor sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Terdahulu, semua sekolah di seluruh Johor akan ditutup selama dua hari bermula esok, susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara yang sedang berlaku di seluruh daerah.
Penutupan itu membabitkan 1,198 sekolah dengan 617,258 orang murid.
© New Straits Times Press (M) Bhd




