EURO: Jerman penuh keyakinan

EURO: Jerman penuh keyakinan

LONDON: Jerman melancarkan perang psikologi ke atas England apabila menulis ‘ia (trofi) akan pulang’ selepas mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik Kejuaraan Eropah 2020.

Dua seteru lama itu akan berentap di Wembley selepas England muncul juara Kumpulan D menerusi kemenangan ke atas Republik Czech, manakala Jerman menamatkan aksi kumpulan selaku naib juara Kumpulan F.

Ini adalah pertemuan pertama buat kedua-dua negara di kejohanan utama sejak Jerman menundukkan England 4-1 pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia di Afrika Selatan.

England berada pada momentum terbaik dengan dua kemenangan daripada tiga aksi peringkat kumpulan, namun Jerman tidak membuang masa untuk menghangatkan pertemuan membabitkan kedua-dua pasukan itu.

Akaun Twitter rasmi pasukan kebangsaan Jerman menciap, “Es kommt nach Hause…It’s @England in the last 16 in Wembley.” selepas mereka terikat dengan Hungary.

Ciapan itu bermaksud ‘ia akan pulang… kami akan bertemu England pada pusingan 16 terbaik di Wembley.

‘It’s coming home’ merujuk kepada lagu hit yang popular pada Kejuaraan Eropah 1996 iaitu ‘Football’s Coming Home’.

Malah, legenda Jerman yang juga bekas pemain Chelsea, Micheal Ballack mengakui persembahan England pada kejohanan itu belum ‘cukup meyakinkannya’.

“Saya rasa kami adalah pasukan pilihan menentang England. Mereka belum meyakinkan saya lagi dan mereka juga lawan yang sesuai buat kami.

“Kami tidak perlu takut dengan mereka, tetapi sudah pasti kami perlu meningkatkan lagi persembahan pasukan.” – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top